Archive for April 2016

Ironinya Kisah Di Meja Judi

Assalamualaikum.

7 April, 2016. Sekejap masa berlalu selepas posting terakhir aku tempoh hari. Sekejap juga semuanya hampir-hampir lenyap melenyapkan mimpi-mimpi yang aku cipta saban malam.

Apapun, terima kasih buat H, yang banyak mendengar jerit-perih hati yang berbolak balik ini. Yang melayan sinetron air mata aku di lewat senja di perkarangan Taman KLCC semalam. Meneman dan menghadap aku yang berhati kaca berderai-derai pecah dan tak terkutip. Terima kasih kerana selalu ada bila aku mahu dia ada. H benar-benar seorang gadis manis yang aku namakan sebagai sahabat terbaik aku sepanjang hayat ini.

Terima kasih juga buat Kak D. Kerana kerap bertanya khabar hati aku. Apa hati aku sudah terjahit? Apa hati aku sudah terkutip? Kak D selalu sudi memberi bait-bait kata yang mampu memapah aku bangkit. Menjadi kakak bagi aku yang tidak cukup kuat bersendiri. Allah... apa lagi yang aku mahu tatkala Allah telah mengirim mereka-mereka yang baik hati ini bahkan pula untuk menjaga hati aku? Alhamdulillah.

Dan tentang sinetron air mata aku di lewat senja di perkarangan Taman KLCC semalam... adalah babak-babak aku meminta sedikit kekuatan untuk dipinjamkan pada aku untuk mengharungi segala yang jadi di hari-hari terkebelakang ini.

Gili Trawangan, Lombok, April 2015

Masih ingat kisah yang aku sedang memperjudi hati? Ada aku tulis di posting Untold & Unsure.

Ironinya, aku sudah hampir kalah di meja judi ini. Tapi hati aku masih kuat berbisik memujuk aku untuk teruskan perjudian, "Teruskan, Syu... Teruskan. Sikit lagi. Bertahan sikittt saja lagi. Walaupun kau bakal terus-terus sakit. Mana tahu yang indah bakal menyusul. Mana tahu kau akhirnya beroleh apa yang kau mahu. Mana tahu doa kau bakal termakbul." Setelah apa yang jadi barusan, hati aku seolah makin mendesak aku untuk terus-terus berserah harap pada Allah. Supaya aku terus semakin yakin bahawa Allah bakal makbulkan yang aku mahu. Supaya aku tidak berputus asa pada keajaiban Allah. Sebab Allah itu mampu meng-kunfayakun-kan sesuatu. Sebab Allah adalah yang paling berkuasa, bahkan bisa mampu membalikkan semula hati seseorang itu untuk tersedar tentang apa yang sebenar-benarnya dia itu perlu.

Maka, bertabahlah. Untuk yang sedikit lagi.
Jangan putus harap pada keajaiban yang Allah mampu buktikan.

Kunfayakun, jika Allah kehendakkan, Allah akan kehendakkannya juga.


"Ironinya Kisah Di Meja Judi"
April 2016

Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.