Mengenang Nasib Lili Putih

Hari ini sangat huru-hara. Aku cuti tetapi bertungkus-lumus menyiapkan tempahan kek batik. Jam tiga aku tiba di kantor untuk membuat penghataran kek batik pada Kak F. Penat yang sungguh penat menyiapkan kesemua sepuluh bekas kek batik, yang aku sediakan penuh teliti. Bayangkan, setiap keping biskut aku susun satu-persatu sisi demi sisi. Untuk mendapatkan susunan yang konsisten dan seimbang. Bayangkan, aku ulang menyusun sekeping demi sekeping untuk lebih kurang sepuluh lapisan. Bayangkan, sekeping demi sekeping untuk lebih kurang sepuluh lapisan aku ulang untuk setiap sepuluh bekas bersaiz anggaran empat belas kali empat belas sentimeter. Hanya demi kualiti yang aku ingin jaga, maka aku sungguh penat dan tidur cukup tidur.

Kak F menghulur wang bayaran kek batik yang berisi di dalam sampul duit raya. Aku terima tanpa melihat jumlahnya. Dan segera pergi kerana masih ada tugasan lain. Aku ingin menyinggah ke KLCC untuk membeli cookies kegemaran abang. Pasti aku akan beli cookies tersebut dengan pek khas hari raya setiap kali hari raya, untuk abang, hanya kerana abang sangat menyukainya. Sementara belum tiba di KLCC, aku cek sampul duit raya bayaran daripada Kak F. Bila dibilang, jumlahnya terlebih dan berganda. Aku segera mesej Kak F, beritahu wang terlebih dan aku ingin memulangkannya. Tetapi kata Kak F, “Akak sengaja lebihkan, untuk Syu...” Rezeki. Alhamdulillah. 

Sampai di KLCC, setelah selesai membeli cookies untuk abang, aku ingin mencari sesuatu untuk ‘A. Ini merupakan tradisi aku — membeli/menyediakan sesuatu yang signifikan sempena hari raya, untuk orang-orang tertentu. Aku teringat pada kedai kuih raya di KLCC ini yang merupakan kegemaran aku. Maka aku segera ke sana dan membeli kuih raya pistachios untuk ‘A. ‘A menyukai perasa-perasa yang sedikit rare. Pistachios adalah antara yang digemarinya. Apabila selesai, aku singgah pula ke kedai bunga kecil sebelum meninggalkan KLCC. Aku membeli beg kertas dan mencapai sekuntum lili putih yang masih segar dan cantik. Ros tidak menjadi pilihanku kerana ros bukanlah kegemaranku. Lili putih ini aku beli sebagai tanda mohon maaf tidak dapat luang masa kerana aku terlalu sibuk. Aku meminta makcik kedai bunga ini untuk memotong batang lili sedikit pendek. Kemudian, lili putih dibalut kemas dengan plastik bunga lutsinar. Aku tersenyum. 

Aku berjalan pulang dengan penuh rasa berbunga-bunga (lili) dan bahagia. Tidak sabar ingin sampai ke rumah dan menyiapkan kek batik untuk ‘A sebagai tambahan ‘hadiah’ hari raya. Kuih raya pistachios, lili putih, dan kek batik. Dalam pada penat dan huru-hara mengejar masa kerana jam sepuluh malam ini aku hendak pulang ke kampung, aku gigihkan diri menyiapkan kek batik untuk dia. Setelah siap, ketiga-ketiganya aku susun rapi. Turut disisipkan kad ucapan berserta tambahan nota kaki mohon maaf. Tak sabar ingin berjumpa ‘A sekejap lagi kerana ‘A ingin menghantar aku dan adikku ke terminal bas. 

Setelah lama menunggu, aku terima mesej daripada ‘A menyatakan dia tidak dapat menghantar aku ke terminal bas. Keretanya terhenti di bahu jalan. Rosak. Maka aku terpaksa bergerak sendiri menaiki kenderaan awam. Ini bermakna, aku tidak dapat berjumpa dengan ‘A sebelum aku pulang ke kampung untuk tempoh yang sedikit lama. Paling menyayat hati, kek batik dan kuih raya untuk ‘A terpaksa aku tinggalkan. Dan, bagaimana pula dengan bunga lili putih ini? Ah, masa sudah suntuk. Aku harus segera ke terminal bas. Aku capai lili putih dan terus menyimpannya di dalam peti sejuk dengan harapan hayatnya bakal lebih lama. Ketika itu, air mata bergenang mengingatkan betapa bahagianya aku ketika membeli lili putih ini tanpa menghiraukan harganya yang agak mahal. Tetapi malang, lili putih ini tidak  ditakdirkan menjadi milik ‘A. 

Nota kaki:
Belum habis menaip kerana tidak tahu bagaimana perlu tamatkan. 
Belum habis menaip dan ayat caca marba kerana pening menaip di dalam bas. 
Akan tambahbaik/kemaskini kemudian.



12 Jun 2018
Lebuhraya Utara-Selatan
Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.