Mencintai diri sendiri dengan menerima tiga puluh dua

Malam ini, aku lebih merindui diri aku sendiri. Merindui segala rutin yang aku lakukan di ruang studio miniku. Merindui hal-hal yang membahagiakan ketika cuma bersendiri. Merindui momen yang hanya perlu aku dan secangkir kopi tiga perempat panas untuk berasa tenang. Merindui betapa kompaknya jiwa yang tertenangkan oleh dendangan empatduapuluh. Merindui aku yang sedang menjadi hanyalah diri sendiri tanpa rasa perlu berpada-pada. Aku adalah aku yang terlalu mencintai diri sendiri. Aku adalah aku yang kerap merindui diri sendiri di momen-momen tertentu.

Peliknya, malam ini aku terlebih-lebih merindui diri sendiri. Mungkin kerana hari kelima belas pada bulan Jun tahun ini adalah lebih istimewa. Istimewa yang mengapapun aku tidak pasti. Yang pasti, di tahun ini aku banyak bersyukur tentang pelbagai perkara. Lebih berasa konten dengan segala perkara. Hanya kerana di bulan-bulan terdahulu pada tahun ini segalanya hanya yang baik-baik saja, maka mungkin dengan itu aku lebih menanti-nantikan hari ini.

"Kita pasti tua... kita pasti tua..." kata Ary Lesmana ketika aku sedang menaip perenggan kedua tadi. Seolah-olah sedang mengingatkan aku bahawa aku telah menua setahun lagi di hari ini. Ironinya, aku tidak tersentap, bahkan terketawa kecil. Barangkali kerana aku sungguh telah menerima umur yang berjalan tahun ke tahun ini. Dan adakah juga kerana telah banyak yang patut disyukuri, diperoleh ketika telah tiba di mukasurat tiga puluh dua ini. Maka, aku menerima baik angka yang digenapkan usai jam duabelas malam ini.

Ketika sedang menjadi diri sendiri di pantai belakang rumah Hawa & Hasif


Kehadapan Syuhada pada tahun ketiga puluh dua,

Tahniah kerana telah menjadi siapa yang telah kau jadi ketika hari ini. Seorang yang sentiasa cuba bersyukur dalam apa keadaan. Dan seorang yang tidak berharap apa-apa tetapi telah mendapat apa-apa. Itu semua kerana berkat berfikiran optimis dan masih cekal di diri yang lalu. Kau adalah sebuah contoh yang baik buat diri kau di masa hadapan. Mari terus-terusan menjadi lebih baik dan sukses untuk hari-hari berikutnya :-)

Selamat Ulangtahun Kelahiran, Syuhada.

Daripada,
Syuhada.

15 Jun 2022
Rumah beberapa langkah dari pantai
Leave comment

Menjadi Kakak adalah Pilihan

Bermalaman tanpa rasa selesa untuk tidur, kerana masih percaya bahawa tanggungjawab masih bersisa ini harus segera dilangsaikan. Malam ini, terasa serba lelah. Sedang mencari sisa-sisa kekuatan dan kecekalan dicelahan kelipan mata yang semakin memberat. Entah daripada mana aku dibekalkan superpower sebegini rupa sebagai seorang kakak. Ketika saat ini, aku masih sedang mengerah keringat otak dan jemari untuk mencari solusi dan rencanakan urusan adik dengan teliti.

Energi yang berbaki sepuluh persen ini menipis. Kelopak mata semakin tidak membuka. Otak, yang umum sudahpun tahu, telah menumpul ini — semakin tidak punya selera untuk berfikir. Tetapi jemari masih ingin menaip di sini, dengan harapan bahawa luahan di malam ini mampu memupuk sekantung dua tambahan kecekalan kepada yang masih tersisa. Mungkin atas dasar kasih dan sayang, seorang kakak yang terdampar ini masih memproses otak untuk berfikir, menyusun kepingan teka-teki yang berbentuk serba celaru.

Otak telah penat. Tetapi siapa di dunia ini mampu melawan kasih seorang kakak yang benar-benar ingin hari bahagia adiknya tersusun cantik walaupun sederhana? Masih sedang memujuk kekuatan hati. Mari! Jangan putus asa, seorang kakak! Cekallah sekalipun sudah terkapai di tebing kepenatan. Kau adalah manusia yang dipergantung harap oleh adikmu. Siapa lagi kalau bukan seorang kakak yang punya kudrat sesetimpal ini untuk melihat adiknya bahagia di hari bahagia? Biarlah adikku mendengkur ditepiku ketika ini, asal di tanggal hari bahagianya, dia benar bahagia.

Adakah semua kakak di dunia ini begini? Apakah kakak-kakak di luar sana, terdampar dengan sisa energi yang hampir-hampir malap ini, masih sedang berusaha gigih membantu para adik mereka? Di dalam apa sekalipun urusan. Apakah kakak-kakak sekalian menggalas superpower ini hingga ke titisan akhir keringat di hari-harinya? Apakah kakak-kakak di dasar bumi ini adalah benar-benar seorang kakak?


Ini ketika sedang menemani adik ke Pasar Seni untuk membeli kipas tangan batik


[ka.ka/] | کاکق

Tidak semua kakak mampu menjadi kakak. 
Kerana menjadi kakak itu sebenarnya adalah pilihan. 
Kalaupun reinkarnasi berlaku berulang-ulang kali,
tetap pilihan aku adalah menjadi seorang kakak kepada adik-adikku.
Heroin, bahkan adiwira, buat adik-adikku yang tersayang.



30 November 2021
Terdampar di dasar bumi Kota Lumpur

Leave comment

Melukis Abstrak Jingga

Kanvas disimbahi akrilik jingga dan kekuningan
Ditonakan sesuai campuran kelabu sebagai melengkapkan
Dibahagi dua untuk konsep dan ruang berbeza
Di bagian bawah coraknya beralun dan menenangkan
Dan di bagian atas sedikit ketabrakan abstrak dari paralelnya
Bulatan ditengahnya perlu ditempiaskan biasnya
Kemudian terpalit hitam dua di bagian kiri, pegun
Dan satu di bagian kanan, lebih sedikit ke bulatan tengah, juga pegun

Lukisan ini telah terjual pada tahun 2017
Dan di hari ini, ia masih digantung di situ


11 April 2021
Johor Bahru
Leave comment

Membancuh Kopi yang Bukan Kegemaranku

Jam dua lewat seperempat malam. Malam ini adalah malam minggu yang masih bersisa. Seperti kebiasaan, jika esok adalah hari baharu untuk memulakan hari bekerja, maka aku harus menghabiskan sisa malam mingguku dengan mengesip kopi panas sambil menaip sesuatu untuk diriku. 

Namun malam ini, aku tidak membancuh kopi kesukaanku. Sengaja aku mencuba untuk menikmati sesuatu yang bukan kegemaranku pada ritual malam mingguku. Seperti hidup, kita harus memilih. Memilih sesuatu yang salah atau bukan kebiasaan, mampu membuat kita tersedar bahawa hidup perlu diberikan peluang kepada pilihan yang selalunya tidak dipilih. 

Dengan menyilangkan kaki sambil bersandar di atas kerusi biru, kopi yang disipkan ini terasa pahit yang mengganggu di hujung kerongkong. Sehingga ke saat aku menaip ini, aku masih terus sip sesuatu yang bukan kegemaranku sambil berpura-pura bahawa ia tidaklah begitu mengganggu deria rasaku. 

Malam minggu ini bakal berakhir sebentar lagi usai aku melelapkan mata untuk tidur. Dengan harapan bahawa hari esok adalah hari yang baik-baik saja untuk segalanya. Aku tetap harus berterima kasih pada kopi yang bukan kegemaranku ini karna tetap berjaya menghilangkan sakit kepalaku yang berdenyut sebelum tadi. 

Selamat malam. 


15 Februari 2021
Kempas Baru, Johor Bahru
Leave comment

Menangguhkan Malam Minggu

Ketik... ketik... ketik...
Bunyi hujan jatuh ke atas atap balkoni usangku kuat,
Sssss... sssss... sssss...
Diselang-selikan bunyi kipas berputar laju,
Bip... bip... bip...
Disambut bunyi mesin basuh yang keletihan bekerja,
Bunyi klik... klik... klik...
Papan kekunci turut berperan timbul dan tenggelam,
... ... ...
Tiada bunyi dari televisi kerana modnya aku bisukan.

Hanya aku,
Di hadapan komputer ribaku sedang menaip cebisan momen ini,
Di hadapan televisi bisu,
Dengan basuhan yang menjerit meminta dijemurkan,
Perasaan yang ditenggelami antara sejuk hujan dan kipas,
Aku sedang dalam percubaan...
Untuk menangguhkan malam minggu yang malas...

Aku dan malam minggu,
Bagaikan sesuatu hubungan yang enggan dipisahkan,
Ia adalah sebuah kisah cinta yang terhalang,
Sebuah cinta yang di benteng penafian,
Cinta ini terlalu kuat...
Antara aku dan malam mingguku,
Yang dihalang oleh keesokan.


13 Oktober 2019
Rumah kecil
Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.