Bercakap soal rezeki, semua orang pun tahu tentang rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Begitu juga dengan jodoh. Jodoh adalah rezeki. Dan rezeki itu adalah daripada Allah. Justeru, mudah untuk difahami bahawa Allah itu telah dengan adilnya menetapkan rezeki setiap manusia itu mengikut portionnya masing-masing, dan mengikut kesesuaian masa, serta ketersediaan penerimanya.
Hari ini, untuk kali entah ke berapa, aku masih terjebak dengan perbualan hal rezeki yang berbentuk jodoh. Pulang dari kampus, Kak N menumpangkan aku ke stasiun LRT berdekatan. Soalan yang aku boleh agak, "Syu bila lagi? Dah ada?" tanya Kak N. Dan seperti biasa juga, aku jawabkan dengan sedikit ketawa sebelum meneruskan jawapan, "Haha." Kak N pandang aku. "Belum lagi, kak..." Kak N pandang lagi, dia senyum. "Tak apa, Syu. Perlahan-lahan," balas Kak N tenang. "Jodoh ni rezeki, kak. Syu belum tahu rezeki Syu macam mana," aku menyambung lebih terperinci. Kak N masih tenang tersenyum sambil memandu.
Sendang Gile, Senaru, Lombok, April 2015
Ada di antara kita-kita yang diberi rezeki jodoh seawal mereka menamatkan pengajian. Tetapi, mereka mengalami kesukaran dalam mendapat rezeki pekerjaan. Berbeza untuk aku yang seawal usia 20 tahun dengan alhamdulillahnya telah diberi rezeki mendapat pekerjaan tetap. Maka, aku redha jika ditakdirkan rezeki jodoh pula diperlambatkan. Sebab itu, seperti yang aku katakan, Allah itu telah dengan adil menetapkan rezeki setiap manusia itu mengikut portionnya masing-masing, dan mengikut kesesuaian masa, serta ketersediaan penerimanya.
Ketersediaan penerimanya pula Allah mengukur, juga, daripada pelbagai sudut. Mungkin di pihak kita, kita tahu diri kita bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi, jodoh kita, yang entah di mana itu pula, masih dalam keadaan tidak bersedia (misalnya, dia masih sedang sibuk menyambung pelajaran atau masih perlu tumpukan perhatian buat ibu bapa), dan Allah tahu akan hal itu. Maka, Allah perlambatkan. Bagi memberi masa pihak yang satu lagi itu bersedia. Atau, boleh jadi, kita anggap kita telah bersedia tetapi hakikatnya, Allah tahu kita masih belum. Maka, Allah bagi ruang untuk kita persiap diri.
Sebenarnya, banyak yang boleh aku hujahkan soal jodoh dari sudut pandang aku. Cuma, di kebanyakan masa, aku lebih selesa untuk tidak mengulas lebih lanjut. Cukuplah untuk aku yakin yang Allah pasti telah menetapkan yang baik-baik untuk aku. Seperti di setiap doa-doa yang kerap ibu kirimkan setiap kali aku mengirimkan wang buat ibu, atau, di setiap kali aku mempermudahkan urusan adik-adik, ibu pasti mendoakan, "Semoga Allah permudahkan urusan kakak dan mendapat jodoh yang baik dan soleh." Yang mana bagi aku, ini sudah memadai melebihi segala-galanya.
September 2016
Setiawangsa