Archive for Oktober 2017

Bagaimana Cara Menikmati Hari Libur

Berbaring di atas lantai. Cuma berbantalkan lengan. Katil separa empuk di kamar tidak menjadi pilihan pertama. Mendengarkan hembus kipas berputar. Sekali sekala diganggu bunyi derum motor dari kejiranan. Di antara tidak berbuat apa-apa selain itu. Atau, berbuat tidak ada apa-apa. Memilih untuk menikmati waktu sendiri. Tidak selesa membalas mesej di hari libur. Enggan menghabis masa di luar. Sekali-sekala memilih untuk memasangkan video bacaan puisi dari negara seberang. Menaip nama A'an Mansyur di enjin carian. Atau nongkrong puisi-puisi lama milik Chairil Anwar. Hujan Bulan Juni, misalnya. Juga nongkrong lagu-lagu yang juga dari negara seberang. Atau... menghembus debu di papan kekunci. Lalu menaip sesuatu. Di ruangan yang dahulunya aku namakan, Baca Aku.

Tamat hari libur.
Leave comment

Langit Miri, Belt Bagasi dan Jodoh

Dalam beratus-ratus episod hidup aku, aku telah berkenalan dengan terlalu banyak watak. Watak-watak yang cuba menyapa dan pergi. Watak-watak yang terlalu kejam dan yang terlalu baik. Watak-watak yang unexpected, muncul di pertengahan-pertengahan episod. Babak-babak di setiap episod juga sangat subjektif dan misteri. Seperti babak ketika menaiki flight dari Miri ke Kuala Lumpur. Seorang lelaki ditakdirkan duduk sebaris aku, yang hanya dipisahkan dengan sebuah tempat duduk kosong di antara kami. Babak ini bermula dengan hanya bunyi deruman kapalterbang yang membolos kepul-kepul awan kasar di bumi langit.

Babak satu:
Dari hujung mata, aku terasa dia sangat kerap memandang ke sisi aku. Bila aku toleh, dia berpura tidak ada apa-apa. Bila aku minta dia bangun sebentar untuk memberi aku laluan hendak ke tandas, juga dia berpura tidak ada apa-apa. Dan ketika aku sedang memicit-micit dahi kerana berdenyut terlalu kuat akibat tekanan udara sewaktu kapalterbang berada di paras separa tinggi, aku masih perasan lelaki ini sedang memandang. Dia seolah-olah ingin menegur atau berborak atau melemparkan senyum, tetapi dia segera memandang ke arah lain sebaik saja aku menoleh. Dia masih berpura tidak ada apa-apa.

Kapalterbang sudah tiba di lapangan terbang. Dia segera turun ketika aku masih terkapai-kapai mencari beg laptop di tempat menyimpan barang di ruangan atas kepala. Aku berjalan terlalu perlahan dari arrival gate sehingga ke tempat menuntut bagasi atas sebab kaki sedikit sakit. Jadi ketika itu aku beranggapan bahawa lelaki itu telahpun selesai keluar dari kawasan lapangan terbang dan aku tidak akan berselisih dengannya lagi.

Babak dua:
Ketika membelok ke tempat menuntut bagasi, aku tercari-cari di bahagian mana aku harus menuntut bagasi aku sambil aku mengecilkan mata mencari titik fokus. Rabun ini semakin parah. Dan ketika itu juga, aku terpandang lelaki yang sama sedang berdiri tepat menghadap aku. Aku serta-merta memberi senyum, dan dia senyum kembali. Dalam hati aku, mengapa dia berdiri menghadap aku sedangkan belt bagasi berada di sisi kirinya, bukan di bahagian aku berjalan. Aku abaikan dan berdiri cuma beberapa langkah daripadanya, sama-sama menunggu bagasi yang sedang bergerak perlahan.

Kemudian, seorang pakcik tua muncul di antara tempat kami berdiri lalu menegur aku, "Kitak sama-sama dari Miri?" Aku mengangguk sambil senyum kepada pakcik ini, "Ya, dari Miri." Aku beri senyuman paling manis buat pakcik ini dan bagasinya pun tiba di hadapannya dan segera pergi bersama isteri. Masih aku sempat perasan yang lelaki berbaju hitam misteri ini memandang dan mencuri dengar ketika aku sedang berborak dengan pakcik tadi. 'Kau ni nak tegur aku ke apa sebenarnya?' Aku berasa pelik.

Lima minit berlalu dan bagasi kami masih belum kunjung tiba. Janggal. Tiba-tiba dia mencapai bekas bagasi kosong yang terbalik di atas belt bagasi itu dan menelentangkannya supaya berada dalam keadaan yang betul. Dua kali dia berbuat demikian. Aku perhati lama. Tiba-tiba aku perasan dia tersenyum ketika dia sedar aku sedang memerhati. Dan buat kali pertamanya aku mendengar suara dia... "Risau kalau ada beg orang dalam ni... nanti orang tak perasan," dia memberi penerangan atas perbuatannya. Aku tergelak sedikit sambil tersenyum sebelum bertanyakan soalan.

"Banyak beg?" soal aku kerana melihat ada troli bagasi di sebelahnya. Aku anggarkan barangnya pasti banyak sehingga perlu menggunakan troli. Terus dia berpaling tepat kepada aku dan mula berborak. "Ada dua beg," jawabnya dan dia bertanya kembali, "You ke Miri memang orang Miri ke atau kerja?" Gayanya sungguh seperti karakter seorang hero drama slot Akasia jam 7 malam di TV3.  Dan reaksi muka macho dan gerak tangan selari dengan soalan yang diajukan. Nada suaranya penuh karismatik dan berkarakter. Dia kini berani bersuara dan cuba mengupas soalan yang barangkali sudah lama dia simpan sejak ketika dia duduk di sebelah aku ketika kami berada di atas langit Miri. 

Aku menjawab ringkas, "Outstation..." juga sambil senyum. Sengaja aku memberi jawapan paling pendek supaya dia terus bertanda tanya. Sekali lagi, "You offshore ke?" Kelakar soalan dia. 'Gaya aku ada gaya orang kerja offshore ke?' Cakap aku dalam hati. Pelik dengan soalan dia... memikirkan aku sedang memakai blouse kasual dan seluar jeans, berserta kemas mengenakan blazer hitam. Mustahil aku kerja offshore. Dia segera memperbetulkan soalannya apabila melihat aku membuat muka sangat pelik. "Tak... maksud i, you kerja Oil & Gas ke?" Dia memperkemas soalannya. Aku menggeleng dan menjawab, "Bukan, T (aku sebut nama company). Ada training..." masih sebolehnya sengaja menjawab dengan jawapan paling pendek. Dan juga masih senyum.

"Oh... you attend training ke atau you yang jadi trainer?" Lagi. Dan lagi juga, pendek jawapan aku, "Trainer..." sambil aku mencuri-curi pandang ke arah belt bagasi mencari bagasi aku. Muka dia tersangat kagum setiap kali aku menjawab soalannya. Aku perasan yang bagasi aku sudah semakin hampir. Aku beri isyarat pada dia dengan mengangkat kening dan menunjuk ke arah bagasi. "Tu... beg dah sampai..." Dia menoleh. Dan aku segera mengangkat bagasi. Dia memerhati penuh teliti. Waktu itu juga aku sedar bahawa aku tidak ada apa-apa alasan untuk meneruskan perbualan atau untuk membiarkan dia mengajukan lain-lain soalan.

Babak tiga:
Aku melambai laju ke arah lelaki misteri berbaju hitam ini, "Byeeeee....." dengan suara sedikit gembira selepas menemukan bagasi yang ditunggu-tunggu. Aku mengirimkan senyuman terakhir pada dia, lalu segera meninggalkan dia dengan persoalan-persoalan yang belum sempat dia tanyakan pada aku. Ada juga aku terfikir, 'Entah-entah beg dia dah lama lalu, tapi dia sengaja biarkan supaya melengahkan masa dan dapat berborak dengan aku? Sebab dia dah jalan jauh ke depan sebelum aku, dan sepatutnya beg dia sudah tiba lebih awal...'

Babak tamat:
Babak ini telah tamat. Tidak ada lagi kelibat lelaki misteri yang cuba mencuri-curi pandang ke sisi aku. Ketika usai solat di surau lapangan terbang, aku terpandang troli bagasi yang mempunyai dua buah bagasi. Aku berharap agar itu bukan troli bagasinya. Dan aku juga berharap, ini bukanlah babak yang sama seperti di dalam drama slot Akasia jam 7 malam... yang mana setelah setahun kemudian, kedua-dua watak ini secara kebetulan bertemu di lapangan terbang yang sama lalu ditakdirkan lagi sekali duduk bersebelahan. Tidak. Ianya tidak perlu berlaku lagi. Kerana aku tidak mahu merumitkan hal jodoh yang tidak pasti ini. Semoga dia bukanlah siapa-siapa untuk aku. Tetapi cuma seorang lelaki misteri berbaju hitam yang ditakdirkan duduk bersebelahan aku di langit Miri - hanya sekali.

Langit Miri dari perspektif tempat duduk 28A

---

Sedikit konklusi berkait:
Jodoh adalah tanda tanya yang tidak mudah terjawab. Di suatu masa, ia kelihatan terlalu mudah untuk dianggarkan, untuk dibualkan oleh makcik-makcik ketika sedang memotong bawang di kenduri kahwin sepupu-sepupu kita. "Kau bila lagi? Jangan tunggu lama-lama..." Atau, ketika beraya ke rumah mak long, "Dah ada calon ke belum?" tanya mak long tanpa rasa bersalah. Di umur-umur sebegini, untuk mengelak dipersoal adalah mustahil. Dan adalah cukup bohong kalau aku katakan yang hal ini tidak bermain-main dalam fikiran aku sendiri. Siapa? Dan bila?

Siapa dan bila telah menjadi sepasang bayang-bayang yang mengekori malam aku ketika berjalan dalam gelap yang disuluhi lampu-lampu neon. 'A adalah destinasi aku. Tetapi, destinasi tanpa penunjuk arah juga menjadikan aku ragu-ragu untuk melangkah. 'A masih menjadi orang pertama sejak 2007. Tetapi adakah dia bakal terus menjadi orang pertama pada tahun-tahun yang di hadapan laluan aku (semoga jawapannya adalah 'ya')? 

Saban hari, aku berdoa moga segeralah diselesaikan apa yang belum diselesaikan. Moga segeralah dipastikan hal-hal yang tidak dipastikan. Lebih-lebih lagi ketika sering didugakan dengan kedatangan watak-watak yang cuba mencuri hati. 

Persoalan:
Menjadi terlalu baik dengan semua kawan-kawan dan strangers sering menjatuhkan aku ke babak yang dramatik, dan keliru. Adakah menjadi terlalu baik itu sebuah kesalahan yang patut aku elakkan? Adakah menjadi seorang yang spontaneous dengan memberi senyuman paling manis kepada strangers itu adalah suatu kejahatan? Dan adakah aku perlu elakkan berkawan dengan sesiapa supaya dapat mengelakkan konflik perasaan dan merumitkan keadaan? Sedangkan ikhlas berkawan adalah matlamat yang patut semua orang mainkan ketika menyapa buat kali pertama. Ikhlas tanpa menyimpan rasa-rasa. Tanpa mengharap apa-apa.

Aku biarkan soalan ini, terus menjadi persoalan.
Sepertimana aku biarkan lelaki misteri berbaju hitam itu di lapangan terbang dengan persoalan-persoalan yang belum sempat dia ajukan.

Leave comment

Aku di mana?

Setelah hari berganti
Dan semalam pun pergi
Masih setiap kata-kata
Berhenti dengan sebuah tanda

Kipas berputar tidak berhenti
Begitupun tanda tanya
Hembus nafas semakin berat
Aku masih di sana

Hidup ini seperti puisi
Bila pun aku mahu, aku tulis
Tanpa ritma dan bunyi
Hati menulis, menulis, menulis lagi

Esok,
Aku di mana?


Oktober 2017
Rumah kecil aku

Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.