Di kebanyakkan masa dan perkara, hari ini aku memilih untuk berangan-angan sedang di langit Kuching bersama adik-adik. Entah kenapa, terasa sangat rindu bumi dan langit yang sudah tidak asing bagi aku itu. Terbang melewati kepul-kepul awan Kuching sahaja sudah cukup buat aku berasa bahagia. Apatah lagi apabila menjejakkan kaki di sana. Aku membuka laman web Air Asia dan meneliti kos penerbangan pergi dan pulang. "Hmm... lain kali saja..."
1 Oktober bakal tiba lebih kurang satu bulan saja lagi. Pihak yang meminang bakal usulkan surat pinangan. Dan ini bermakna, aku bakal bukan lagi seorang pekerja di bawah naugan HR. Sedikit takut rasanya untuk keluar dari kepompong lama, dari zona nyaman yang telah lama aku diami. Dan sedikit yang aku tahu, sebenarnya aku sedar yang aku bakal merindui aktiviti kerja luar yang memerlukan aku untuk terbang ke bumi bukan kebiasaan aku.
Bakal tidak ada lagi kerja luar dan kerja lapangan. Tidak ada lagi kerja kreatif. Tidak ada lagi kerja teknikal di balik tabir sesebuah acara. Tidak ada lagi fast cut video editing. Tidak ada lagi nama meniti di mulut dan fikiran rakan-rakan HR. Tidak lagi berasa diperlukan atas skillset yang dipegang oleh aku seorang dalam kawanan HR. Apakah kehadiran aku di tempat baru bakal diterima baik oleh mereka? Apakah aku mampu dan selayaknya memikul tugasan baru kelak?
Dan berbalik kepada soal terbang ke bumi Kuching...
Aku berasa sangat rindukan bumi itu. Orang-orangnya. Udara nyamannya. Deretan kedai krafnya. Sungai dan sampannya. Berjalan kaki perlahan-lahan sepanjang sungai yang mendamaikan. Melintasi bahu-bahu jalan dengan perasaan bermain sebagai tourist. Menyusup laluan kedai mencari makanan yang membahagiakan. Kemudian setelah bumi Kuching disimbahi malam, pulang ke kediaman untuk menghabiskan sisa malam.
Rindu, teramat rindu. Sehingga menyebabkan aku teringin sangat membawa adik-adik terbang dan menerokai kebahagiaan di sana. Mungkin belum rezeki.
Bumi Kuching dari pandangan langit kabin di 27A
28 Ogos 2019
Jalan Pantai Baharu