Membancuh Kopi yang Bukan Kegemaranku

Jam dua lewat seperempat malam. Malam ini adalah malam minggu yang masih bersisa. Seperti kebiasaan, jika esok adalah hari baharu untuk memulakan hari bekerja, maka aku harus menghabiskan sisa malam mingguku dengan mengesip kopi panas sambil menaip sesuatu untuk diriku. 

Namun malam ini, aku tidak membancuh kopi kesukaanku. Sengaja aku mencuba untuk menikmati sesuatu yang bukan kegemaranku pada ritual malam mingguku. Seperti hidup, kita harus memilih. Memilih sesuatu yang salah atau bukan kebiasaan, mampu membuat kita tersedar bahawa hidup perlu diberikan peluang kepada pilihan yang selalunya tidak dipilih. 

Dengan menyilangkan kaki sambil bersandar di atas kerusi biru, kopi yang disipkan ini terasa pahit yang mengganggu di hujung kerongkong. Sehingga ke saat aku menaip ini, aku masih terus sip sesuatu yang bukan kegemaranku sambil berpura-pura bahawa ia tidaklah begitu mengganggu deria rasaku. 

Malam minggu ini bakal berakhir sebentar lagi usai aku melelapkan mata untuk tidur. Dengan harapan bahawa hari esok adalah hari yang baik-baik saja untuk segalanya. Aku tetap harus berterima kasih pada kopi yang bukan kegemaranku ini karna tetap berjaya menghilangkan sakit kepalaku yang berdenyut sebelum tadi. 

Selamat malam. 


15 Februari 2021
Kempas Baru, Johor Bahru
Leave comment

Menangguhkan Malam Minggu

Ketik... ketik... ketik...
Bunyi hujan jatuh ke atas atap balkoni usangku kuat,
Sssss... sssss... sssss...
Diselang-selikan bunyi kipas berputar laju,
Bip... bip... bip...
Disambut bunyi mesin basuh yang keletihan bekerja,
Bunyi klik... klik... klik...
Papan kekunci turut berperan timbul dan tenggelam,
... ... ...
Tiada bunyi dari televisi kerana modnya aku bisukan.

Hanya aku,
Di hadapan komputer ribaku sedang menaip cebisan momen ini,
Di hadapan televisi bisu,
Dengan basuhan yang menjerit meminta dijemurkan,
Perasaan yang ditenggelami antara sejuk hujan dan kipas,
Aku sedang dalam percubaan...
Untuk menangguhkan malam minggu yang malas...

Aku dan malam minggu,
Bagaikan sesuatu hubungan yang enggan dipisahkan,
Ia adalah sebuah kisah cinta yang terhalang,
Sebuah cinta yang di benteng penafian,
Cinta ini terlalu kuat...
Antara aku dan malam mingguku,
Yang dihalang oleh keesokan.


13 Oktober 2019
Rumah kecil
Leave comment

Menerbangkan Rindu Bumi Kuching

Di kebanyakkan masa dan perkara, hari ini aku memilih untuk berangan-angan sedang di langit Kuching bersama adik-adik. Entah kenapa, terasa sangat rindu bumi dan langit yang sudah tidak asing bagi aku itu. Terbang melewati kepul-kepul awan Kuching sahaja sudah cukup buat aku berasa bahagia. Apatah lagi apabila menjejakkan kaki di sana. Aku membuka laman web Air Asia dan meneliti kos penerbangan pergi dan pulang. "Hmm... lain kali saja..." 

1 Oktober bakal tiba lebih kurang satu bulan saja lagi. Pihak yang meminang bakal usulkan surat pinangan. Dan ini bermakna, aku bakal bukan lagi seorang pekerja di bawah naugan HR. Sedikit takut rasanya untuk keluar dari kepompong lama, dari zona nyaman yang telah lama aku diami. Dan sedikit yang aku tahu, sebenarnya aku sedar yang aku bakal merindui aktiviti kerja luar yang memerlukan aku untuk terbang ke bumi bukan kebiasaan aku.

Bakal tidak ada lagi kerja luar dan kerja lapangan. Tidak ada lagi kerja kreatif. Tidak ada lagi kerja teknikal di balik tabir sesebuah acara. Tidak ada lagi fast cut video editing. Tidak ada lagi nama meniti di mulut dan fikiran rakan-rakan HR. Tidak lagi berasa diperlukan atas skillset yang dipegang oleh aku seorang dalam kawanan HR. Apakah kehadiran aku di tempat baru bakal diterima baik oleh mereka? Apakah aku mampu dan selayaknya memikul tugasan baru kelak?

Dan berbalik kepada soal terbang ke bumi Kuching...

Aku berasa sangat rindukan bumi itu. Orang-orangnya. Udara nyamannya. Deretan kedai krafnya. Sungai dan sampannya. Berjalan kaki perlahan-lahan sepanjang sungai yang mendamaikan. Melintasi bahu-bahu jalan dengan perasaan bermain sebagai tourist. Menyusup laluan kedai mencari makanan yang membahagiakan. Kemudian setelah bumi Kuching disimbahi malam, pulang ke kediaman untuk menghabiskan sisa malam.

Rindu, teramat rindu. Sehingga menyebabkan aku teringin sangat membawa adik-adik terbang dan menerokai kebahagiaan di sana. Mungkin belum rezeki.

Bumi Kuching dari pandangan langit kabin di 27A


28 Ogos 2019
Jalan Pantai Baharu

Leave comment

Menjawab dengan tanda tanya

Ada sesuatu yang tersekat dikerongkongmu
Seolah sebuah bebanan berat yang kau simpankan lama
Ia di antara mahu telan atau mahu luah
Kau membuat manusia di sebelahmu kebingungan

Riak mukamu yang tidak selesa dan kegusaran
Dikerling bebola mata yang menanti jawapan
Kau enggankan perbualan diakhiri dengan nokhtah
Kau mengaburinya dengan sebuah lagi tanda tanya

Kau pacu mobilmu seperti tidak ada apa-apa
Sedangkan sekeping hati sedang kehujanan
Kau matikan sebuah perbualan yang telahpun mati
Tidak ada apa-apa yang perlu dibualkan lagi...


31 Julai 2019
Kantor


Leave comment

Melewati terowong gelap

Di kaki bukit yang didiami kehijauan dan tenang
Kita melalui terowong yang sedikit panjang dan mencuram
Sempat aku ketik butang kamera telefon pintarku dicuraman itu
Sekadar untuk menyimpan sekeping dua kenangan

Usai pulang, aku amati kepingan gambar
Di dalam terowong itu, kita dibaluti kehitaman dan kesamaran
Yang ada cuma cahaya di hujung yang tidak kesampaian
Ia seolah menjanjikan sebuah kepastian dan jawaban

Lama aku tenung gelombang cahaya yang menjauh
Apa mampu kita melewati ruang gelap ini secepatnya?
Bukan takut, tetapi aku tidak selesa untuk terlalu lama di sini
Izinkan aku menghidupkan kita di ruang yang lebih bercahaya


Bukit Bendera, Pulau Pinang


30 Julai 2019
Setiawangsa
Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.