Lagi Tentang Menghargai

Dalam hidup ini, terlampau banyak perkara-perkara yang boleh dihargai oleh kita-kita sebenarnya. Sebesar-besar perkara seperti momen bermakna tatkala adik sedang melangkah di atas pentas untuk menerima segulung ijazah di hari graduasinya, sehingga sekecil-kecil perkara seperti momen ketika memerhati gelagat anak kecil yang bersama neneknya setiap pagi menaiki bas yang sama dengan aku, yang mampu buat aku tersenyum.

“Alaaa, nenek ni.... Nak tekan loceng...” rungut anak kecil itu manja kepada neneknya yang sudah agak uzur susuk tubuhnya mendukung dia. Setiap pagi, kebiasaannya aku akan memilih untuk duduk di kerusi betul-betul di belakang kerusi nenek tadi dan cucunya di dalam bas. Cucunya aku anggarkan berumur dalam lingkungan 3 tahun. Kecil saja susuk badan anak kecil ini, tetapi sungguh petah berkata-kata.

Rutin mereka setiap pagi adalah menaiki bas untuk entah ke mana. Yang aku tahu, mereka akan turun di sebuah perhentian bas di sekitar Keramat AU2. Tidak pasti sama ada nenek ini mahu menghantar cucunya ke taska, atau apa. Tapi begitulah sehari-hari. Aku selesa duduk di belakang mereka memerhatikan gelagat si cucu dengan neneknya itu. Sepanjang perjalanan sebelum tiba di lokasi perhentian mereka, anak kecil itu akan banyak bercerita, menoleh jauh ke sekitar luar tingkap bas. Memerhati kenderaan, bangunan-bangunan, dan orang-orang. Pasti suara nyaring halusnya itu berbunyi tatkala ada sesuatu dari sisi pandangnya yang mencuit hati dia. Comel.

Ada masanya dia akan sesekali menoleh ke aku yang lagi duduk di belakang dia. Aku senyum. Dia toleh lagi. Mungkin mahu dapatkan kepastian yang senyum aku tadi adalah buat dia atau siapa. Maka, aku senyum lagi. Kali ini sambil mengangkat kening mengusik dia. Dia senyum pelik melihat kelagat aku. Dan dia sambung kembali berborak dengan neneknya.

Sehinggalah bas melewati kawasan perkilangan Texas Instruments, anak kecil tadi sudah tahu bahawa bas hampir tiba di perhentian yang bakal dia turuni. Dia mencari-cari butang loceng yang perlu dia tekan. Dengan ketinggian yang tidak seberapa itu, dia meraba-raba butang loceng, lalu ditekan. Tetapi malang, loceng tidak berbunyi dek kerana tangan halusnya tidak mampu menekan loceng itu sekuat yang perlu. Lalu, neneknya pula akan segera menekan loceng kerana sekiranya tidak, takut kalau-kalau bas tidak berhenti dan terus melepasi perhentian bas tersebut.

“Alaaa, nenek ni.... Nak tekan loceng...” Ulang-ulang kali dia melepaskan rungutannya dengan suara sehalus Upin Ipin. Neneknya hanya tersenyum dan mendukung dia menuruni tangga bas. Anak itu masih tidak henti merungut. Dan pastinya aku akan tersenyum kasihan. Alahai, anak kecil. Di pagi-pagi begini kau sudah mampu membuat aku gembira hanya dengan sekecil-kecil perkara. Bahkan dengan sekecil-kecil perkara ini lah yang buat aku yakin bahawa ada bermacam hal yang kita-kita patut hargai di setiap segala keadaan. Tidaklah kita perlu menunggu seseorang melamar hidup dengan sebentuk cincin baru kau mahu rasa dihargai. Janganlah hanya ketika si dia membelikan kau sejambak bunga baru kau mahu menghargai segala yang dibuat dia. Kerana menghargai dan dihargai itu tidak terhad kepada hanya sebesar-besar pengorbanan atau tingkah semata.

Aku, menghargai gelagat anak kecil dan neneknya ini. Menghargai setiap pagi yang aku lalui dengan momen manis begini. Menghargai segala macam perkara yang mampu buat aku senyum. Menghargai orang-orang di sekeliling aku tanpa mereka perlu berbuat apa. Menghargai adanya kita-kita untuk menghargai apa-apa.


Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.