Masterpiece art berat Azman Picasso dan kita netizen bernama Uda

Terlalu ramai Kamil di luar sana. Yang dimanja-manjakan dengan wang dan kemewahan. Yang dia tahu cuma parti dan have fun. Terlalu ramai Melor di tepi-tepi lorong perumahan flat. Yang di senja-senja hari sedang menunggu Azman Picasso dengan kereta menderum tersekat-sekat. Hendak ke parti. Hendak bermabuk-mabukan. Terlalu ramai juga Azman Picasso yang dinanti-nanti gadis seperti Melor. Yang hebat dengan masterpiece art beratnya yang dia pamer di dinding rumah kos sederhana serba tak ada apa. Yang dia tahu adalah untuk khayal. Dan mamai.

Dara... juga ramai. Diajak-ajak teman seperti Melor. Diajar-ajar menipu mengaji tetapi terikut-ikut ajakan yang khayal-khayal. Yang bukan-bukan. Dara adalah mangsa keadaan. Dara adalah mangsa kepada situasi keluarga. Dara adalah mangsa kepada seorang Melor. Dara adalah mangsa kepada malam-malam gelap menunggu Azman Picasso di tepi longkang untuk ke parti. Dara adalah mangsa kepada keinginan Kamil. Dara adalah mangsa kepada dirinya sendiri. Yang naif. Yang terlalu terikut-ikut. Yang mudah percaya. Yang tidak tahu apa-apa. Yang mentah. Yang cintakan Uda, bukan Kamil.

Kita-kita adalah Uda. Kita adalah netizen yang bernama Uda. Kita pekak. Kita punya telinga. Tetapi kita pekak untuk mendengar. Kita dengar. Tetapi kita abaikan dan memilih menjadi pekak. Kita adalah Uda. Yang kita tahu kita tidak boleh mendengar dan kita tidak mendengar. Kita tahu hal-hal seperti Azman Picasso dan Kamil banyak di luar sana. Tetapi kita tidak memilih untuk peduli. Yang kita tahu cuma hidup kita. Kita adalah kita. Kita adalah Uda. Tetapi Uda bukan kita.

Uda pekak. Tetapi hatinya tidak pekak. Dia menjaja dadah kepada Kamil-Kamil di luar sana. Uda mengedar pil-pil khayal khas buat manusia khayal seperti berpuluh-puluh Azman Picasso di lorong-lorong gelap. Uda tidak mengambil dadah. Dia cuma mengedar. Dia tidak tahu untuk berparti. Dia tidak suka. Yang dia tahu cuma untuk memasang piring hitam yang memutarkan lagu Rintihan Hati milik Othman Hamzah. Dia tidak dengar. Tetapi dia tahu lagu Rintihan Hati adalah lagu buat meneman dia untuk tidur. Yang dia tahu, dia mahu segera bisa mendengar. Untuk mendengar suara Dara. Dan suara hati Dara.


Disember 2016
Rumah kecil aku

Label : . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.