Archive for 2018

Melihat Ibu Menanti

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Ibarat helaian buku usang dicarik
Sehelai demi sehelai

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Ibarat menatang
Emas di dalam talam

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Sehingga ibu berkata,
“Tak mengapa. Ibu cuma saja-saja...”
(Sedangkan ibu rindu...)

Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?


13 Oktober 2018
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
Leave comment

Membenarkan Bahagia Bersama Hujan

Hujan sungguh membahagiakan
Ia mampu membuat aku tersenyum
Dan berasa sebati dengannya
Bersama pokok-pokok yang menari
Membuat hati aku turut menari
Sambil menghayati bait-bait puisi
Yang sedang hujan perdengarkan
Aku berdiri tanpa sedar
Ketika bersandar di pagar besi usang
Bahawa masa sedang meninggalkan
Dan membenarkan aku bahagia bersama hujan...

Hujan kini ingin berhenti
Hujan berjanji untuk datang lagi



Oktober 2018
Balkoni usang
Leave comment

Menelan Penat

Kepagian melangkah bumi
Berpusu-pusu di celahan ramai
Hari ini berpenat-penat lagi
Bila pula jiwa mampu damai?

Hari kau di kantor dimulakan
Dengan diasak dengan arahan
Kau terus, kau sambut selagi tahan
Apa kuasa kau untuk melawan

Satu perdua hari telah berlalu
Tubuhmu telah lesu
Sehingga senja kau membisu
Benakmu semakin tepu

Teman-teman kian pulang
Sedang jemarimu menaip sesawang
Kau telah lupa erti senang-lenang
Di setiap hari yang kau tidak menang

Tetap di penat-penat
Kau masih mahu melihat
Dari sisip-sisip yang kau sempat
Melihat dia semakin dekat

Kau pulang di kemalaman
Di waktu ini kau berteman
Segala penat kau kini telan
Bersamanya tidak ada lagi beban


13 September 2018
Kantor
Leave comment

Menulis Filosofi Kosong

Kosong tidak terbuka jalannya
Sekalipun terdarabkan
Dengan jiwa-jiwa
Dari seluruh zona manusia

Ia berlari-lari anak
Mencari peran dan teman
Imajinasi terkehadapan
Berhadap dunia yang tidak sempurna

Adakah ini mimpi?
Namun mengapa masih pegun
Begitu, seperti selalu
Ia tetap berada di titik kelmarin


12 September 2018
Kantor
Leave comment

Menyingkap Ramadhan

Pelbagai kenangan diimbau setiap kali Ramadhan tiba.

Imbauan pertama:
Setiap kali Ramadhan, aku dan abang akan tidur di ruang tamu. Kami masih lingkungan umur 4-7 tahun ketika itu. Rutin kami, kami melipat sweater masing-masing dan menyorokkannya di balik bantal tidur kami. Tujuannya, apabila bangun daripada tidur untuk bersahur, kami akan memakai sweater tersebut kerana kesejukan. Aku dan abang akan menonton televisyen sehingga kami terlelap sendirian.

Imbauan kedua:
Ibu lagi sedang di dapur membakar kuih raya. Aku dan abang akan menyelinap masuk ke dapur pada bila-bila masa di antara waktu kami bermain, untuk 'mencuri' kuih ibu yang sudah siap dibakar. Panas-panas keluar dari ketuhar. Kuih mazola ibu adalah kegemaranku pada waktu itu.

Imbauan ketiga:
Aku dan adik, Nadia, bakal sentiasa menjadi penonton setia rancangan 'Riang Ria Raya Bersama Nestle Conflakes'. Sehari tanpa menonton rancangan ini sebelum masuk waktu berbuka bermakna tidak lengkaplah rutin harian kami pada bulan Ramadhan. Setiap langkah-langkah membuat kuih raya oleh Chef Ismail kami telili dengan tekun. Umur aku dan adik ketika ini sekitar 6-9 tahun.

Imbauan kelima:
Ada sekali pada Ramadhan sekitar umur aku 6 tahun, aku tersangat letih berpuasa. Ketika pulang dari sekolah, nenek sedang di dapur menyiapkan lauk berbuka puasa bersama ibu. Aku tanya pada nenek, "Kenapa hari ni kakak rasa letih sangat?" Lalu nenek menjawab, "Sebab kan hari ni kita lupa bersahur..." Dan ibu serta-merta bisik pada nenek, "Kenapa mak bagitahu? Nanti dia akan merengek nak berbuka sebab alasan tak bersahur..." Betul. Aku terus merengek. Namun, berjaya dipujuk ibu untuk bertahan sehingga azan maghrib.

Imbauan keenam:
Ketika di asrama sekolah, rutin kami ketika Ramadhan, jam 6 petang kami akan bergegas turun ke dewan makan. Jam 6 dewan makan akan dibuka. Maka semua pelajar asrama akan beratur. Masing-masing adalah telah menjadi tradisi akan membawa bekas air berisi kordial perisa air masing-masing untuk dicampur dengan air kosong sejuk di dewan makan. Jika lebih rajin, kami akan ke kantin sekolah sebentar untuk membeli ais ketul dan mungkin telur mata sebagai lauk tambahan berbuka puasa.

Imbauan ketujuh (paling tragis):
Ramadhan pada tahun 2007-2010 adalah antara Ramadhan yang hiba. Aku masih ingat ketika teman-teman pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka bersama keluarga, aku seorang diri di bilik asrama kolej. Juadah berbukaku antaranya mi segera di dalam cawan. Paling hiba, aku terpaksa makan mi segera itu dengan menggunakan pisau plastik pemotong kek kerana aku gagal menjumpakan sepasang sudu dan garfu. Lalu, air mata hiba mengalir-alir ke pipi mengenangkan ibu dan ayah apabila azan maghrib berkumandang.
Leave comment

Mendalami Watak ‘Jern’

Situasi:
Di set penggambaran drama

Gincu rona merah kod ‘SEPI’ dicalit dibibirnya
Pemerah pipi jenama ‘SUNYI’ dipalit membentuk tulang pipi
Untuk pembayang mata, kali ini dia memilih tona warna ‘HILANG’
Sepatu bertatahkan ‘KEKUATAN’ tidak lagi muat di kakinya

Dia mengambil 'SENYUM' lalu memakai pada bibirnya
Dia menggunting kertas berbentuk 'HATI' lalu ditampal di dadanya
Dia memakai kacamata 'BAHAGIA' menutupi matanya
Oh, ada koyakan pada jiwanya
Dia terus menjahit koyakan tersebut dengan seutas benang 'KECEKALAN'


22 Mei 2018
Untuk NS atau ‘Jern’
Leave comment

Merindui Teman

Setiap kali kelibat yang seakan-akan lalu, aku segera menoleh. Tapi bukan dia. Dan setiap kali juga aku ternampakkan susuk badan seiras, bila aku teliti, bukan dia.

Apa khabar, teman?
Apakah masih menyimpan foto matahari terbenamku di Kota Kinabalu?

Saat waktu emas di Kota Kinabalu Waterfront, 17 Mei 2017


19 April 2018
Setiawangsa
Leave comment

Menerima Bunga

Semalam, menerima bunga untuk kali kelima daripada individu berbeza. Kalau dahulu, mungkin ya, salah aku sebab terlalu baik sehingga disalahmaksudkan. Tapi kali ini berbeza. Aku tidak kenal siapa, dan bagaimana pengirim menjejaki kewujudan aku. Tidak pernah berbuat baik pada pengirim, mahupun bertegur sapa.

Berat betul hati semalam, ketika menerima jambangan kecil bunga ros berwarna pic.
Niat hati ingin pulangkan dan membayar kembali.

Bagaimana untuk memberitahu bahawa perempuan ini hatinya telah disimpan orang?
Bagaimana untuk memberitahu bahawa penulis blog ini sedang menunggu seseorang?
Bagaimana untuk dengan sopannya memberitahu bahawa penerima bunga ini tidak boleh menerima salam perkenalan pengirim?

Pasti pengirim bakal terasa hati.

Sepanjang hidup 28 tahun ini, aku paling takut kalau-kalau ada orang sekeliling terasa hati, atau sakit hati, atau berdendam. Aku paling takut jika perbuatan dan niat baik disalaherti. Apatah lagi untuk membuat seseorang terjatuh egonya, atau air mukanya.

Rasa bersalah membuatkan aku tidak tenteram.
Cukuplah rasa bersalah yang menyelubungi aku sejak 15 September 2016 lalu.


20 Mac 2018
Kantor
Leave comment

Sebenarnya Denial

2018 cuma tahun yang biasa-biasa. Sama seperti tahun terdahulu. Sejak dua tiga tahun lepas, aku sudah tidak pernah berharap apa-apa setiap kali kalendar bertukar tahun. Aku tidak lagi meletakkan sebarang harapan kepada hari-hari baru. Melainkan kebaikan-kebaikan yang ingin Allah kirimkan untuk keluarga aku. Pagi ini, perbualan dengan Kak D di ruangan sembang Telegram membawa dia kepada sebuah soalan yang aku tidak ada perasaan untuk menjawabnya.

"Bilalah adik akak sorang ni nak kena booking?" Selepas dia bercerita tentang sahabat kami, S, yang telah didatangi keluarga belah lelaki untuk menghantar 'tanda'.

Aku jawab, "Adik akak yang sorang ni tengah nak makeover balkoni buruk dia tu dulu..." Aku berseloroh.

Aku hidup dalam denial. Sebenarnya. 

Dulu, aku percaya aku sudah bersedia untuk menjadi isteri orang. Dulu, aku pujuk hati kata yang kononnya aku memang sudah bersedia untuk ada tanggungjawab itu. Hakikatnya, aku masih hidup dalam denial.

Aku tidak bersedia. Tidak pernah bersedia.

Merchant's Lane, Petaling Street


12 Februari 2018
Kantor
Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.