Menyingkap Ramadhan

Pelbagai kenangan diimbau setiap kali Ramadhan tiba.

Imbauan pertama:
Setiap kali Ramadhan, aku dan abang akan tidur di ruang tamu. Kami masih lingkungan umur 4-7 tahun ketika itu. Rutin kami, kami melipat sweater masing-masing dan menyorokkannya di balik bantal tidur kami. Tujuannya, apabila bangun daripada tidur untuk bersahur, kami akan memakai sweater tersebut kerana kesejukan. Aku dan abang akan menonton televisyen sehingga kami terlelap sendirian.

Imbauan kedua:
Ibu lagi sedang di dapur membakar kuih raya. Aku dan abang akan menyelinap masuk ke dapur pada bila-bila masa di antara waktu kami bermain, untuk 'mencuri' kuih ibu yang sudah siap dibakar. Panas-panas keluar dari ketuhar. Kuih mazola ibu adalah kegemaranku pada waktu itu.

Imbauan ketiga:
Aku dan adik, Nadia, bakal sentiasa menjadi penonton setia rancangan 'Riang Ria Raya Bersama Nestle Conflakes'. Sehari tanpa menonton rancangan ini sebelum masuk waktu berbuka bermakna tidak lengkaplah rutin harian kami pada bulan Ramadhan. Setiap langkah-langkah membuat kuih raya oleh Chef Ismail kami telili dengan tekun. Umur aku dan adik ketika ini sekitar 6-9 tahun.

Imbauan kelima:
Ada sekali pada Ramadhan sekitar umur aku 6 tahun, aku tersangat letih berpuasa. Ketika pulang dari sekolah, nenek sedang di dapur menyiapkan lauk berbuka puasa bersama ibu. Aku tanya pada nenek, "Kenapa hari ni kakak rasa letih sangat?" Lalu nenek menjawab, "Sebab kan hari ni kita lupa bersahur..." Dan ibu serta-merta bisik pada nenek, "Kenapa mak bagitahu? Nanti dia akan merengek nak berbuka sebab alasan tak bersahur..." Betul. Aku terus merengek. Namun, berjaya dipujuk ibu untuk bertahan sehingga azan maghrib.

Imbauan keenam:
Ketika di asrama sekolah, rutin kami ketika Ramadhan, jam 6 petang kami akan bergegas turun ke dewan makan. Jam 6 dewan makan akan dibuka. Maka semua pelajar asrama akan beratur. Masing-masing adalah telah menjadi tradisi akan membawa bekas air berisi kordial perisa air masing-masing untuk dicampur dengan air kosong sejuk di dewan makan. Jika lebih rajin, kami akan ke kantin sekolah sebentar untuk membeli ais ketul dan mungkin telur mata sebagai lauk tambahan berbuka puasa.

Imbauan ketujuh (paling tragis):
Ramadhan pada tahun 2007-2010 adalah antara Ramadhan yang hiba. Aku masih ingat ketika teman-teman pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka bersama keluarga, aku seorang diri di bilik asrama kolej. Juadah berbukaku antaranya mi segera di dalam cawan. Paling hiba, aku terpaksa makan mi segera itu dengan menggunakan pisau plastik pemotong kek kerana aku gagal menjumpakan sepasang sudu dan garfu. Lalu, air mata hiba mengalir-alir ke pipi mengenangkan ibu dan ayah apabila azan maghrib berkumandang.
Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.