---
Menulis tentangmu adalah sebuah kesukaran. Apatah lagi untuk menjadikanmu sebuah puisi.
Berikan aku satu ribu delapan puluh tujuh muka surat. Namun, aku bakal bingung bagaimana perlu aku mulakan. Sediakan aku sebuah kamus penuh abjad dan tatabahasa. Namun, untuk menaip abjad pertama saja aku telah kekagetan. Sertakan sekalian kosa kata yang bermetafora maha hebat. Namun, kosa kata untuk melambangkanmu adalah sebuah kepayahan.
Kerana,
Kau bukan mereka-mereka. Kau bukan sesuatu yang mudah untuk aku luahkan ke dunia. Dan sebab itu, dunia tidak tahu tentangmu. Kerana aku simpan-simpan di poket hati daripada tercicir. Polaroid hitam putih di tahun 2008 itu masih di situ. Aku elakkannya daripada terpudar oleh rasa kasih, dan cinta, dan segala. Sesekali pernah ia dipudarkan oleh debu yang antagonis dan persimis, sempat aku bersihkan supaya kasih masih menghuni di alamat itu lagi.
Kau adalah lagu-lagu indie folk indonesia yang bakal aku pasang dan dengarkan setiap kali sebelum aku memulakan tugasanku di lewat-lewat malam dan senja. "Denganmu... tenang..." sayup-sayup. Dan, "...berlari-lari di taman mimpiku..." diulang-ulang random.
Januari 2017
Setiawangsa