Melewati terowong gelap

Di kaki bukit yang didiami kehijauan dan tenang
Kita melalui terowong yang sedikit panjang dan mencuram
Sempat aku ketik butang kamera telefon pintarku dicuraman itu
Sekadar untuk menyimpan sekeping dua kenangan

Usai pulang, aku amati kepingan gambar
Di dalam terowong itu, kita dibaluti kehitaman dan kesamaran
Yang ada cuma cahaya di hujung yang tidak kesampaian
Ia seolah menjanjikan sebuah kepastian dan jawaban

Lama aku tenung gelombang cahaya yang menjauh
Apa mampu kita melewati ruang gelap ini secepatnya?
Bukan takut, tetapi aku tidak selesa untuk terlalu lama di sini
Izinkan aku menghidupkan kita di ruang yang lebih bercahaya


Bukit Bendera, Pulau Pinang


30 Julai 2019
Setiawangsa
Leave comment

Menulismu adalah kesukaran

Tulisan ini ditulis pada 2017. Enggan dipos di ruangan blog ini, maka ia tersisip lama di timbunan draf. Mungkin 2019 yang terbaik ia berada di tatapan mata sesiapa.

---

Menulis tentangmu adalah sebuah kesukaran. Apatah lagi untuk menjadikanmu sebuah puisi.

Berikan aku satu ribu delapan puluh tujuh muka surat. Namun, aku bakal bingung bagaimana perlu aku mulakan. Sediakan aku sebuah kamus penuh abjad dan tatabahasa. Namun, untuk menaip abjad pertama saja aku telah kekagetan. Sertakan sekalian kosa kata yang bermetafora maha hebat. Namun, kosa kata untuk melambangkanmu adalah sebuah kepayahan.

Kerana,

Kau bukan mereka-mereka. Kau bukan sesuatu yang mudah untuk aku luahkan ke dunia. Dan sebab itu, dunia tidak tahu tentangmu. Kerana aku simpan-simpan di poket hati daripada tercicir. Polaroid hitam putih di tahun 2008 itu masih di situ. Aku elakkannya daripada terpudar oleh rasa kasih, dan cinta, dan segala. Sesekali pernah ia dipudarkan oleh debu yang antagonis dan persimis, sempat aku bersihkan supaya kasih masih menghuni di alamat itu lagi.

Kau adalah sebuah karangan yang kompak. Dengan huruf-huruf berantakan yang aku sengaja selerakkan di meja penuh buku-buku puisi ini. Masih ingat ketika aku mula-mula menulis puisi tentangmu? Dan kini aku semakin tidak tahu menulis. Tentangmu. Tentang betapa indah keberadaanmu di masa-masa lampau dan kini.

Kau adalah lagu-lagu indie folk indonesia yang bakal aku pasang dan dengarkan setiap kali sebelum aku memulakan tugasanku di lewat-lewat malam dan senja. "Denganmu... tenang..." sayup-sayup. Dan, "...berlari-lari di taman mimpiku..." diulang-ulang random

Cangkir-cangkir kopi panas yang aku teguk, sentiasa ada dirimu.


Januari 2017
Setiawangsa
Leave comment

Menganggarkan Kepayahan

Tulisan ini dikarang sejurus setahun usai tulisan pada Januari 2017. Ia berkait, seakan sequel atau bagaimana. Maka, tajuk dan konteksnya seakan-akan. 

---

Kau adalah kopi latte
Yang aku sipkan
Ke kerongkongku

Kau adalah nyanyian indie folk
Yang aku lalukan
Ke corong telingaku

Kau adalah malam minggu
Yang aku enggankan tidur
Ke gelap mataku


Foto ditangkap oleh kepayahan , di VCR Cafe, Jalan Galloway


3 Januari 2018
Rumah kecil
Leave comment

Melihat Ibu Menanti

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Ibarat helaian buku usang dicarik
Sehelai demi sehelai

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Ibarat menatang
Emas di dalam talam

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?

Melihat ibu menanti
Sehingga ibu berkata,
“Tak mengapa. Ibu cuma saja-saja...”
(Sedangkan ibu rindu...)

Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur

Adakah aku meminta
Lebih daripada
Yang kau mampu tunai?


13 Oktober 2018
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
Leave comment

Membenarkan Bahagia Bersama Hujan

Hujan sungguh membahagiakan
Ia mampu membuat aku tersenyum
Dan berasa sebati dengannya
Bersama pokok-pokok yang menari
Membuat hati aku turut menari
Sambil menghayati bait-bait puisi
Yang sedang hujan perdengarkan
Aku berdiri tanpa sedar
Ketika bersandar di pagar besi usang
Bahawa masa sedang meninggalkan
Dan membenarkan aku bahagia bersama hujan...

Hujan kini ingin berhenti
Hujan berjanji untuk datang lagi



Oktober 2018
Balkoni usang
Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.