Sinetron Jam Dua Petang

Dan semakin hari berganti, semakin hebat sinetron jam dua petang ini berlanjutan. Para pelakon berubah silih dan ganti. Heroin lama telah kembali setelah lapan tahun membawa diri. Tetapi wataknya dibunuh di persimpangan jalan babak kelmarin. Lalu heroin baru muncul. Antagonis di awal cerita. Perwatakan yang tak digemari oleh heroin terdahulu dan watak-watak lain. Tetapi lama-kelamaan watak antagonis heroin baru ini makin boleh diterima penonton. Tetapi, hero yang sama masih di situ tampak gagah, walhal sebenarnya wujud pelbagai helah dan rahsia di balik lipatan lengan bajunya. Berpura protagonis. Dikeranakan tuan direktor mahukan hero tetap menjadi hero, maka, di situlah dia tetap memegang perwatakan heronya walaupun secara totalnya, dia tidak layak.

Di suatu sudut yang lebih sunyi, kita sering terlepas pandang akan kewujudan seorang lagi yang layak digelar heroin, namunnya. Kerana para penonton jahil biasanya lebih selesa menganggapnya sekadar watak sampingan. Sekadar watak komplementar di bucu-bucu dinding. Sedang yang lebih tahu selok-belok cerita adalah dia seorang. Sama seperti jika kita lihat di anugerah-anugerah yang gah di anjung telivisi. Yang kita tumpukan cuma pelakon-pelakon yang memegang watak hero dan heroin. Maka melonjak-lonjak populariti. Maka terkinja-kinja para peminat bila mana nama pelakon kegemaran mereka dinobat sebagai pemenang anugerah. Lalu disanjung-sanjung membuta tuli. Kalaupun watak sampingan ini dinobatkan anugerah, pasti liputannya ditayang ke umum, hanya pada jam-jam terakhir credit title tulisan berwarna putih berlatar skrin hitam itu dikeluarkan. 

Sedang kita bodoh. Untuk tidak menghargai adanya yang digelar watak sampingan itu tadi untuk melengkapkan ruang jalan cerita. Dia lah pemanis. Dia lah pelengkap. Dia lah serba-serbi. Wataknya statis. Tidak dinamis seperti si hero. Dia lah yang paling mahir memegang wataknya dengan penuh rasa dan jasa serta seratus persen penghayatan dalam setiap babak yang memerlukan adanya dia. Dia ikhlas. Dia jujur dalam memainkan wataknya walau tidak pernah cuba dihargai. Justeru, yang layak dinobatkan sebagai Bintang Paling Berjasa adalah ini, yang seorang ini. Yang di belakang tabir dia menangis, pendam segala rasa dan caci maki. Di belakang tabir itu juga dia tidur dengan sepasang lengannya memeluk angin sambil menangisi keberadaannya di kaca telivisi tiada dipeduli. Apatah lagi untuk diangkat menjadi watak paling utama di dalam sinetron itu. Malahan di kaca telivisi itu juga dia sering mendapat babak sipi-sipi hanya bila hero memerlukannya. Dia bingung kenapa wataknya wujud. Pasti tuan direktor punya sebab mengapa mewujudkan wataknya di situ.

Kejam, bukan?
Siapa yang kejam?

Paling kejam - heronya.

Tasik Taiping, sekitar Ogos 2015

Sinetron petang ini wujud unsur intrinsik. Tetapi plotnya celaru.


P/S Buat Kak B, bertahanlah. Kerana kalau bukan dia perlukan akak dalam hidup dia, akak masih perlukan diri akak untuk berhidup di esok hari. Hanya untuk akak, bukan untuk siapa-siapa.


"Sinetron Jam Dua Petang"
Julai 2016

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.