Archive for September 2015

Aku dan Bintang (2005)

Sejak kebelakangan ni, secara tiba-tiba, segala memori lama zaman persekolahan aku muncul satu demi satu. Di kebanyakan masanya aku cuba elak untuk ingat, makin pula seolah didesak-desak memaksa aku mengimbau setiapnya. Bermula dengan gelagat nakal aku dan teman-teman yang pada ketika itu sering menjadi buruan warden dan pengawas disiplin, seludup telefon bimbit dan pemain musik radio jenama Palito, ponteng kelas petang, menyusup keluar dari asrama jam dua pagi melalui lubang pagar rosak, melepak duduk dekat tangga dengan Amalina sambil menghadap tangki air asrama tanpa tujuan, terbongkang atas meja batu dekat depan bilik warden jam empat pagi sambil menghadap bintang-bintang menjadi saksi gosip-gosip dan perbualan mengarut aku dengan kawan seasrama, latihan kawad di tengah-tengah malam beberapa hari sebelum pertandingan kawad peringkat negeri, sehinggalah insiden-insiden curi-curi masuk kelas budak tingkatan tiga semata-mata untuk kepilkan lirik-lirik lagu Peterpan dan kertas jawapan Matematik ke meja sekolah itu.

Segalanya seolah masih baru semalam.
Hakikatnya sudah 10 tahun aku meninggalkan yang manis-manis dan yang pahit-pahit kelmarin.
Bersama mata yang aku pejam tidak mahu toleh ke belakang kembali.

Ternyata semuanya sudah berubah. Aku, bukan aku yang dahulu lagi. Aku bukan lagi sahabat baik Amalina yang melepak duduk dekat tangga dengan Amalina sambil menghadap tangki air asrama tanpa tujuan, bukan adik tingkatan dua yang semangat latihan kawad di tengah-tengah malam beberapa hari sebelum pertandingan kawad peringkat negeri, aku bukanlah dahulunya budak tingkatan tiga yang terbongkang atas meja batu dekat depan bilik warden jam empat pagi sambil menghadap bintang-bintang, aku bukan lagi pelajar tingkatan empat yang rebel yang sering menjadi buruan warden dan pengawas disiplin, seludup telefon bimbit dan pemain musik radio jenama Palito, ponteng kelas petang, menyusup keluar dari asrama jam dua pagi melalui lubang pagar rosak... dan aku juga bukan lagi kakak senior yang curi-curi masuk kelas adik tingkatan tiga semata-mata untuk kepilkan lirik-lirik lagu Peterpan dan kertas jawapan Matematik ke meja sekolah itu.

Jelaslah seluruhnya telah berubah. Namun tidak memori-memori yang aku nyatakan tadi.

Buktinya, setiap satu-satu babak, watak-watak, dan jalan cerita kelmarin dengan mereka-mereka aku tidak pernah lupa. Aku ambil yang manis-manis untuk aku simpan di dalam poket hati aku. Untuk kenang-kenang di usai tua. Dan yang pahit-pahit, aku buang dan dijadikan teladan membina diri aku yang telah aku bina sehingga hari ini.

Aku telah menjadi Syuhada yang punya misi hidup cukup luas, kompak, jelas. Aku ternyata semakin kuat. Walaupun hakikatnya aku sendiri tahu yang lagu-lagu lama Peterpan itu mampu membuat air mata aku sedikit-sedikit jatuh bila muncul rasa rindu. Rindu... adik tingkatan tiga, serta lirik-lirik lagu Peterpan itu.

Dan rasakan semua bintang, memanggil tawamu terbang ke atas. Tinggalkan semua, hanya kita dan bintang...”   
– Aku dan Bintang, Peterpan (2005)


September 2015
Rumah kecil di Kuala Lumpur


Posted in | Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.