Archive for 2016

Kata Kerja

Kepalaku adalah sebuah kampung
Penuh dengan anak-anak kecil teriakan dan tertawa
Jiwaku adalah kantor walikota
Sedang memenjara manusia-manusia yang aku cinta
Mataku adalah rumah Kata Kerja
Yang menyimpan seorang Aan Mansyur
Untuk membacakan puisi-puisi sebelum aku tidur

Selamat malam buat kalian yang baik hati.


Kata Kerja
Diinspirasikan oleh Aan Mansyur
Disember 2016

Leave comment

Melor-Melor dan Kamil-Kamil

Di kerongkong kota bising dan sarat
Tersekat-sekat menelan anak-anak muda
Terus menggelongsor menelusuri rongga kejahatan
Tercekik-cekik
Tidak diberi minum air bersih

Di perut ibu kota kotor
Kesenakan kenyang dengan noda-noda
Terlupa mengunyah tazkirah sore
Buat menghadam dan mengharam
Bintik-bintik hitam

Hati, ditinggal di atas meja
Otak, disangkut di tepi tingkap

Justeru, berjalan lewat kata-kata
Entah apa-apa
Bayang-bayang sendiri pun tidak mahu ikut
Enggan disatukan dengan kegelapan yang pekat

Tenggelam,
Dalam,
Malam.


Disember 2016
Rumah kecil aku

Leave comment

Masterpiece art berat Azman Picasso dan kita netizen bernama Uda

Terlalu ramai Kamil di luar sana. Yang dimanja-manjakan dengan wang dan kemewahan. Yang dia tahu cuma parti dan have fun. Terlalu ramai Melor di tepi-tepi lorong perumahan flat. Yang di senja-senja hari sedang menunggu Azman Picasso dengan kereta menderum tersekat-sekat. Hendak ke parti. Hendak bermabuk-mabukan. Terlalu ramai juga Azman Picasso yang dinanti-nanti gadis seperti Melor. Yang hebat dengan masterpiece art beratnya yang dia pamer di dinding rumah kos sederhana serba tak ada apa. Yang dia tahu adalah untuk khayal. Dan mamai.

Dara... juga ramai. Diajak-ajak teman seperti Melor. Diajar-ajar menipu mengaji tetapi terikut-ikut ajakan yang khayal-khayal. Yang bukan-bukan. Dara adalah mangsa keadaan. Dara adalah mangsa kepada situasi keluarga. Dara adalah mangsa kepada seorang Melor. Dara adalah mangsa kepada malam-malam gelap menunggu Azman Picasso di tepi longkang untuk ke parti. Dara adalah mangsa kepada keinginan Kamil. Dara adalah mangsa kepada dirinya sendiri. Yang naif. Yang terlalu terikut-ikut. Yang mudah percaya. Yang tidak tahu apa-apa. Yang mentah. Yang cintakan Uda, bukan Kamil.

Kita-kita adalah Uda. Kita adalah netizen yang bernama Uda. Kita pekak. Kita punya telinga. Tetapi kita pekak untuk mendengar. Kita dengar. Tetapi kita abaikan dan memilih menjadi pekak. Kita adalah Uda. Yang kita tahu kita tidak boleh mendengar dan kita tidak mendengar. Kita tahu hal-hal seperti Azman Picasso dan Kamil banyak di luar sana. Tetapi kita tidak memilih untuk peduli. Yang kita tahu cuma hidup kita. Kita adalah kita. Kita adalah Uda. Tetapi Uda bukan kita.

Uda pekak. Tetapi hatinya tidak pekak. Dia menjaja dadah kepada Kamil-Kamil di luar sana. Uda mengedar pil-pil khayal khas buat manusia khayal seperti berpuluh-puluh Azman Picasso di lorong-lorong gelap. Uda tidak mengambil dadah. Dia cuma mengedar. Dia tidak tahu untuk berparti. Dia tidak suka. Yang dia tahu cuma untuk memasang piring hitam yang memutarkan lagu Rintihan Hati milik Othman Hamzah. Dia tidak dengar. Tetapi dia tahu lagu Rintihan Hati adalah lagu buat meneman dia untuk tidur. Yang dia tahu, dia mahu segera bisa mendengar. Untuk mendengar suara Dara. Dan suara hati Dara.


Disember 2016
Rumah kecil aku

Posted in | Leave comment

Dalam Usaha Meraih Semangat

"Nafas aku turun naik
Menderu
Minda berlari-lari ligat
Memaksa otak untuk berdenyut

Jasad telah terdampar
Ketika nafas masih bertarungan
Jiwa ini, perlu istirehat
Tetapi kudrat, memerlukan

Aku lemah jasad,
Mohon tidak jiwaku..."

— "Lemah", Ogos 2016


Taiping, Julai 2016

Di saat ini, badan aku sedang menggigil dan jasad terasa terlalu lemah dikeranakan oleh kehilangan tenaga dan kurang istirehat. Lemah, dan terlalu penat. Sehingga mata terkebil-kebil tidak mahu lelap kerana terlalu penat untuk penat. Apatah lagi setelah aku memaksa-maksa jasad juga minda menyelesaikan tugasan-tugasan kampus serentak sekalian dengan tugasan kantor yang tertangguh. Persediaan untuk presentation pada Sabtu dan Ahad ini pula masih belum selesai. Belum lagi jika ingin difikirkan tentang Dato' O (GM di kantor) yang meminta aku menghadiri kursus Android apps development supaya aku bakal mampu membangunkan aplikasi untuk projeknya yang bakal menyusul. 

Yang paling penting yang aku ingin katakan adalah, mohon doanya moga aku terus kuat untuk meneruskan menabur bakti dan ilmu buat guru-guru sekolah di seluruh Malaysia. Perjalanan seterusnya adalah ke Kuala Muda, Kedah. Dan usai pulang nanti, keringat perlu dikerah pula untuk berhadap dengan peperiksaan akhir untuk Semester ini.



Ogos 2016
Bilik konversasi solo

Leave comment

Pagi Ini Wujud Lagi

Jumaat, jam 6.25 minit pagi.

Hujan turun agak lebat pagi ini. Usai mengambil wuduk, aku berdiri sebentar di balkoni belakang rumah aku. Bersandar di dinding dan menghadap keluar. Memandangkan ke langit fajar yang masih gelap. Terasa hati begitu sayu, dan sedikit tenang. Bunyi air hujan yang mengalir menitis menitik-nitik jatuh lewat bumbung balkoni yang bocor, dan sayup-sayup kedengaran suara burung-burung yang bersambut-sambut, lagi menambahkan efek-efek perasaan yang sayu tetapi tenang itu. Dramatis dan puitis. Aku tersenyum sendirian.

Pagi ini, aku bangun lagi. Untuk sebuah percaturan demi percaturan. Namun, aku tertanya-tanya. Adakah percaturan hari ini bakal membuah sebuah perkhabaran bahagia? Adakah percaturan kelmarin pula bakal terjawabkan? Kita merancang, dan tertunggu-tunggu. Sedang yang tahu, cuma Allah. 

Alhamdulillah. Hari ini umur aku sudah 26 tahun 2 hari. Terima kasih buat semua yang mengirimkan doa-doa serta ucapan hari lahir. Di usia sebanyak ini, segala-galanya adalah lebih mematangkan dan mendewasakan. Aku sudah cukup dengan rasa-rasa yang kelmarin. Tuntutan aku berhidup kali ini bukan lagi untuk diri aku sendiri, tetapi buat mereka-mereka yang aku kasihi.

Jalan Gurney Kiri, Kuala Lumpur, 15 Jun 2016

Kelmarin pergi
Dan pagi ini wujud lagi
Wujud pun tidak pernah kekal
Tetapi mengapa dibilang-bilang
Cahaya menembusi jendela
Deru motokar menderu sedikit mengganggu
Aku teringin berdiri di sana
Di bising orang-orang yang aku tidak tahu
Atau duduk saja di bawah pohon ini
Dan biarkan masa melewati
Anak-anak kecil di pagi hari mengendong tas sekolah
Mengapa wujud pagi ini?
Untuk disakiti lagi?
Atau untuk sebuah perkhabaran bahagia?
 Tetapi mengingatkan bahwa Allah itu perancang
Maka, aku kalah
Pasti Allah punya rencana
Maka, aku senyum
Dan teruskan berhidup.
— Pagi Ini Wujud Lagi (Baca Aku)


15 Jun 2016
Balkoni 

Leave comment

Jalan Doraisamy

Gelandangan di sudut pejalan kaki menadah tangan pada nenek tua
Nenek tua melintas di garis kuning bersama pemuda cacat lima puluh persen penglihatan
Pemuda yang cacat lima puluh persen penglihatan terkapai di bahu jalan bertembung pemuda eksekutif
Pemuda eksekutif memacu Mercedes melintasi para arsonist
Para arsonist dengan gah menyebar abu dan debu di tempat mencari rezeki si pelukis jalanan
Pelukis jalanan memotret manusia cantik
Manusia cantik sedang memanggil barista
Barista membancuh kopi latte kegemaran pengopi
Pengopi terhibur mendengarkan nyanyian lelaki-lelaki buskers
Lelaki-lelaki buskers memetik gitar menghibur wanita sepi
Wanita sepi sedang mengelamun menulis puisi untuk entah siapa
Entah siapa sedang merindukan entah siapa
Entah siapa mengambil peduli entah apa


'Jalan Doraisamy'
Mei 2016

Leave comment

Buat Para Strangers dan Para Lelaki Yang Keliru

Menerusi insiden yang berlaku pada diri aku yang pernah aku ceritakan sebelum ini (atau aku belum betul-betul cerita?), ternyata telah membuatkan aku sedar bahawa bukan aku seorang yang hatinya dipersenda dan dipermain. Bahkan ramai lagi teman rapat dan para strangers yang tampil menceritakan perihal yang sama atau malahan lebih teruk daripada itu.

Makanya dengan ini, telah mendatangkan sebuah konklusi yang mana aku anggarkan mampu menjadi batu loncatan buat aku supaya bersyukur. Bersyukur dalam konteks ini yang aku maksudkan adalah, aku perlu bersyukur tidak ditimpakan musibah perhubungan yang lebih teruk. Lebih kasihan perihalnya jika dibandingkan wanita-wanita dan gadis-gadis yang dipenjara hati mereka dan tak dijaminkan. Sekurang-kurangnya untuk aku, aku telah berjaya menjamin hati aku sendiri dengan cagaran ‘sejumlah hati yang sakit dek kerana terpaksa melepaskan’.

Satu hal lagi, aku kerap memikirkan apa sebenarnya seorang lelaki itu mahukan. Sudah diberi hati, malah dipermainkan. Sudah diberi kasih, malah dipersendakan. Sudah diberi sayang, malah dientengkan. Sudah diberi percaya, malah dimungkirkan. Apa mereka-mereka ini sendiri tidak mempunyai hati? Atau, bagaimana?

Soalnya, perbuatan menyakiti hati ini boleh diklasifikasikan sebagai sebuah dosa. Dosa kerana mempermainkan hati orang. Menganiaya. Dan adakah kita-kita lupa bahawa doa orang-orang yang teraniaya itu lebih mudah dimakbulkan? Apatah lagi jika orang tersebut telah dianiaya hatinya berulang-ulang kali (telah diberi peluang berkali-kali usai saban tahun pun masih diberikan peluang kedua atau ketiga, tetapi masih juga dipermainkan para lelaki) — mudah-mudah saja doa-doanya dimakbulkan, bukan? Untung saja kalau-kalau orang yang kita-kita permainkan itu tidak pernah berniat berdoa yang tidak-tidak (aku malahan mendoakan dia berbahagialah).

Buat para strangers yang aku kasihi sekalian — berhadaplah dengan Allah. Kerana Allah punya kunci bagi hati-hati kita yang sedang di dalam keraguan, ketidakpastian, dan kesedihan. Hanya Allah saja yang mempunyai kunci untuk kita keluar daripada bilik-bilik sepi yang mengongkong hati untuk bahagia. Mengadulah pada Allah sesungguhnya. Menangislah di atas sejadah disepertiga malam moga dipinjamkan kekuatan hati untuk melepaskan dan teruskan berhidup. Tahajjud itu adalah bagi orang-orang yang menang. Biarkan mereka-mereka itu berbahagia di balik derita kita. Biarkan. Biarkan.

Buat para lelaki yang masih keliru di luar sana — berhentilah daripada terus-terus terkeliru. Berhentilah daripada mengaju alasan ‘tidak tahu buat pilihan’ kerana kalian tidak layak pun membuat sebarang pilihan. Beringatlah bahawa hidup ini wujud yang kita panggil sebagai kifarah. Beringatlah bahawa jika tidak mahu ditakdirkan yang sama ke atas dirimu atau anak-anakmu kelak, maka, jangan perlakukannya pada orang lain. Jangan menganiaya. Sebabnya kita tidak pernah tahu kelak apakah yang bakal terjadi pada kita? Apakah pengakhiran di setiap permulaan yang kita mulakan? Berinsaflah. Segera meminta maaf kepada setiap hati yang kau pijak-pijak kelmarin.

La tahzan, buat semuanya.
Allah itu sentiasa ada untuk kita.


“Buat Para Strangers dan Para Lelaki Yang Keliru”
Mei 2016
Bilik konversasi solo

Leave comment

Hiatus

When it began to require too much effort, I decided to take a brief hiatus for these few weeks. There will be no update on Instagram, Facebook, Wechat moment, Whatsapp status and Twitter from me. Sampai bila? Entah. Sampai a miracle happen. Sampai ada good news, perhaps?

Aku cuma nak bagi ruang pada orang-orang sekeliling bernafas tanpa aku. Biar orang-orang hidup sehari-hari tanpa muncul nama aku di mana-mana social media. Let them feel relief and not feel annoyed with my existence. 

Well, do they care and will notice my absence?
Do they even need me to be existed in their day and night?
Do they?

Assalamualaikum.
Bye.

Updated : Percubaan on hiatus adalah failed. Maybe boleh kata tak applicable for Instagram. Kahkah.


Februari 2016
Rumah kecil aku

Leave comment

Uneasy Feeling yang Memang Minta Penumbuk

This uneasy feeling is something that we shouldn't joke about. Sebab... memang betul-betul mengganggu dan serba-serbi jadi tak kena. Ada masa kita sendiri tak pasti kenapa this uneasy feeling keep bothering us the whole day until we reach at the point that tiba-tiba kita tersebut satu nama atau satu perkara secara rawak, dan air mata tiba-tiba mengalir deras. Waktu tu barulah kita tersedar yang satu nama atau satu perkara yang kita tersebut secara rawak tadi adalah punca kenapa kita rasa that kind of uneasy feeling.

Aku pernah waktu diploma dahulu, aku alami this kind of situation. Waktu tu tengah makan ramai-ramai dengan kawan kelas kat dalam bilik hostel. Sepanjang hari tu sejak pagi sampai ke usai tengaharinya hati aku tak tenteram, berdebar, mood macam tenggelam timbul tapi aku tak pasti apa sebenarnya yang aku fikir dan rasa. Sampaikan satu masa tu aku tengah sembang-sembang sambil sedang makan, aku tersebut 'ibu' (which waktu tu aku nak cerita sesuatu yang berkaitan dengan ibu). Dan serta-merta aku terdiam selepas sebut perkataan 'ibu'. Serta-merta jugaklah air mata deras mengalir tak henti-henti. Teresak-esak macam entah apa yang jadi. Dan waktu tu baru aku tersedar 'ibu' adalah punca hati aku tak tenteram sepanjang hari. Waktu tu baru aku tersedar yang sebenarnya aku sedang rindukan ibu yang seteruk-teruk rindu.

Itu salah satu contohnya lah.

Tapi hari ini sejak malam tadi, aku terus-terus rasa uneasy. Sampai tahap tengah buat report tadi pun aku boleh terhenti dan aku cengkam button huruf-huruf keyboard laptop aku ni kuat-kuat. Kau bayangkan betapa aku rasa tak selesa dengan rasa macam ni. Rasa macam nak penumbuk je diri aku sendiri sekarang ni. Rasa nak menjerit. Biar puas.

VCR Cafe, Jalan Galloway. November 2012.

Aku rasa uneasy. Dan aku tahu sebabnya kenapa.
Sebab... 
Aku dah buat orang lain uneasy.
Kau faham tak?


Februari 2016
Kantor


Leave comment

Timeline Perancangan Hidup Sepanjang 10 Tahun

Hari ni seharian network down dekat office. Makanya, aku mengheret H untuk bersembang pasal future plan masing-masing. Daripada soal cara pembahagian duit gaji setiap bulan untuk sara hidup, sampaikan ke soal merancang anak berapa orang pada umur sekian-sekian. Yang untungnya, H sudah ada steady partner, atau dalam erti kata lain, dia sudah ada bakal suami (inshaaAllah berkekalan hendaknya). Maka, dia boleh merancang kewangan masa hadapan dia dengan bakal suami dia. Sementara aku, aku terpaksa rancang sendirian, bergerak sendiri, create saving account untuk tabung kahwin seorang diri. No one can share, motivate and encourage me to do such plannings, so, I take full responsibility on it! InshaaAllah, aku boleh.

So, secara kasarnya, ini adalah perancangan aku untuk diri aku dan kehidupan yang bakal aku tempoh dengan suami kelak (ni kiranya sambungan post Siapa Aku 5 Dan 10 Tahun Akan Datang?) :

Umur 27 tahun - Kahwin
Waktu ni, aku masih belum habis degree, masih di tahun ketiga. Tak boleh tangguh kahwin. Lagipun buat apa nak tangguh-tangguh. Benda baik. Settlekan hal kahwin cepat, kemudiannya aku dah boleh fikir perkara-perkara lain yang lebih besar.

Umur 28 tahun - Habis Degree
Selepas habis degree, makanya aku dah boleh fokus dengan kerja studio dan freelance aku. During weekends, aku dah boleh disiplinkan diri dedicatekan masa weekend aku dengan kerja-kerja freelance. By this time, mungkin jugak studio aku dah makin gerak laju dan dapat cater job-job berat (macam seminar, dan lain-lain). No more excuses! Kena kumpul duit untuk bayar balik yuran pengajian yang TM bagi kat aku as I am not going to burden my husband to settle my debt!

Umur 29 tahun - Graduate & Lesen Kereta
Bakal graduate pada tahun 2019 (aku anggarkan graduation adalah setahun selepas habis degree). Mohon (bakal) suami bawak bunga besar-besar time aku konvo nanti, ok? Hahaha. Dan time ni wajib dah ada lesen kereta! Tak kisahlah lambat sikit. Janji aku dapat settlekan mana yang penting dulu. Soal nak beli kereta tu pun, kemudian. Better late than never!

Umur 30 tahun - Appointed as Executive
Aku target, paling lewat pun, setahun selepas graduate, dapatlah aku naik level as Executive, which waktu ni gaji pun dah naik. Sekurangnya dapat tambahkan budget bulanan dan tak membebankan suami on our monthly expenses dan boleh cepat langsaikan loan TM. Dan kemungkinan pada umur ni, dah ada anak 2 atau 3 orang. Kerja freelance dan studio berjalan macam biasa cumanya mungkin aku slow down sikit kot. Dah ada anak 2-3 orang, kena manage masa ikut cara lain pulak.

Umur 31-33 tahun - BAU (business as usual)
Maksudnya, takde apa lah kot berbeza dengan tahun sebelumnya. Business as usual je. Rutin sama, tak berubah. Cuma kena fokus lebih dekat hal anak-anak. Since waktu ni anak pertama dah umur 3 tahun, kena fokus home-schooling untuk anak. By the time my age reach 33 years old, anak pertama dah 6 tahun. 

Umur 34 tahun - Settle Study Loan & Others
By this age, inshaaAllah aku dapat langsaikan semua loan. Dan aku dapat balik freedom aku! Bebas tanpa loan! Amin ya rabbal 'alamin. 

Umur 35 tahun - Beli Kereta
Again... tak kisahlah lambat. Umur 35 tahun baru nak beli kereta. Serius aku tak kisah. Selagi aku boleh berhempas-pulas ulang-alik ke tempat kerja dengan public transport, selagi tu aku akan gigihkan diri. Since by umur ni aku baru langsai semua loan, barulah aku boleh consider to buy my first car. Orang kata, ukur baju di badan sendiri. Dah kalau aku tak mampu nak beli kereta seawal usia yang muda, buat apa, kan? Perlahan-lahan.

Umur 36 tahun - Fokus Pada Kebajikan Anak-Anak
Ok, rasanya dah tiba masa untuk aku makin tumpukan perhatian yang lebih untuk anak-anak. Memandangkan pada umur ini, anak pertama sudah berumur 9 tahun (darjah 3), anak kedua berumur 7-8 tahun, dan anak ketiga berumur 6-7 tahun, perhatian penuh perlu diberikan. Kerja office tetap kerja seperti biasa. Mungkin pada waktu ni, perlu slow down dulu untuk kerja-kerja studio dan freelance.

10 tahun! So, basically, ini adalah timeline perancangan hidup aku secara kasar untuk tempoh selama 10 tahun kehadapan ni. Untuk bilangan anak, buat masa ni aku rancang 3 orang. Tapi segalanya bergantung kepada keadaan dan rezeki Allah. Kalau lebih, aku berbesar hati untuk terima. Dan perlu diingat yang tahun demi tahun, umur ibu dan ayah juga makin meningkat. Perhatian penuh juga aku perlu beri pada ibu ayah. Balas segala jasa dan budi ibu ayah. Bahagiakan mereka. This is my ultimate goal in my entire life, despite segala macam perkara yang aku perlu selesaikan satu-persatu untuk setiap tahun. Apapun, ibu ayah lebih penting daripada segalanya. Aku berdoa semoga Allah meminjamkan ibu dan ayah kepada aku untuk tempoh yang lebih lama supaya mereka dapat lihat kejayaan aku satu-persatu. 

Okay. Cukup untuk kali ni. Sekian.


Posted in | Leave comment

4flat

4flat untuk kali kedua sepanjang degree ni. Syukur, dan segala pujian hanya buat Allah. Dulu masa aku diploma, setiap semester aku akan update target pointer dan berapa pointer aku dapat. Tapi untuk degree ni, tak berani nak buat target. Seram rasanya.

Buat masa sekarang ni, aku masih dikelilingi teman-teman rapat yang sama-sama berusaha keras untuk dapatkan pointer yang bagus. Sama-sama ke kuliah, sama-sama stayback semalaman tanpa tidur di kampus, sama-sama tukar-tukar notes, sama-sama pastikan masing-masing faham subjek yang dipelajari. We won't let any of us being left behind.

Summary keputusan final exam aku sepanjang degree buat masa ni :
Tahun I (2014-2015)
  • Semester I - 4.00
  • Semester II - 3.67
  • Semester III - 3.89

Tahun II (2015-2016)
  • Semester I - 4.00

Permulaan yang baik untuk tahun kedua nampaknya. Mulai Semester II untuk tahun kedua ni, subjek makin berat. Dan untuk semester-semester seterusnya, aku makin terpisah dengan kawan-kawan yang selalu in the loop dengan aku. Sebabnya depa masing-masing course Software Engineering & Networking. Bermakna aku kena survive sorang-sorang lepas ni. Semoga aku mampu hadap semuanya dengan baik.


Leave comment

Dua lelaki Bangladesh & seorang pemuda India yang membahagiakan

Percaturan Allah begitu indah. Untuk hari semalam yang sepatutnya aku ke kantor dengan menumpang kereta teman, tetapi aku ditakdirkan untuk hanya menaiki bas Rapid T220 daripada LRT Dato Keramat menuju ke kantor. Mulanya hati merungut. Disebabkan aku terpaksa menunggu bas begitu lama. Setelah lebih setengah jam, bas muncul. Dan aku memilih untuk duduk di kerusi paling hadapan, paling dekat dengan pemandu bas dan pintu masuk bas. Lalu bas pun bergerak menuju ke satu perhentian bas, ke satu perhentian bas yang lain.

Sehinggalah sampai di perhentian bas yang masih di sekitar Kampung Dato Keramat, dua orang penumpang naik. Aku anggarkan yang mereka berdua ini adalah berbangsa Bangladesh atau mungkin India yang bukan asal dari Malaysia. Perwatakan mereka terlalu takut-takut dan tidak biasa. Awkward. Tiba-tiba aku dengar pemandu bas kata, "Turun dulu, tukar duit kecil. Sini tak boleh tukar duit. Turun dulu," pemandu mengarahkan dua orang yang berbangsa Bangladesh ini turun menukar nota wang RM10 di kedai berhampiran dan kemudian tunggu bas lain tiba. "RM4 untuk dua orang," terang pemandu bas tersebut. Kemudian, salah seorang daripada mereka mengeluarkan dompet, dan mengeluarkan dua keping nota wang RM1 sambil menunjukkan ke kawannya. Aku perhati. Memang hanya itu sahaja yang ada di dalam dompetnya. Bermakna mereka memerlukan lagi RM2. 

"Turun dulu, nanti naik bas lain pula," sambung pemandu bas tadi. Terpinga-pinga lelaki dua orang ini. Barangkali sama ada mereka tidak begitu faham bahasa Melayu, atau mereka tidak tahu apa mereka perlu buat. Atau mungkin juga mereka perlu cepat, sebab sekiranya mereka turun daripada bas itu dan pergi menukar wang, bermakna mereka perlu menunggu lagi lebih setengah jam untuk bas lain tiba.

Dalam keadaan yang sebegitu, aku segera capai dompet aku dan memberikan dua keping RM1 untuk tambahan tambang mereka, bagi mencukupkan jumlah yang mereka perlu. Aku cuit bahunya dan hulurkan wang. Aku kata, "Take it. It's okay. Take it," sambil senyum. Kasihan sangat melihat muka mereka. Sayu rasa. Dia pun ambil wang yang aku beri tadi dan bayar kepada pemandu bas.

Kemudian dia menghulurkan RM10 nya ke aku. Aku menolak dengan baik, "No. No... it's okay. It's okay, takpe..." aku senyum lagi sambil menggeleng laju. Sebabnya aku tidak ada wang baki dan lagian pula, aku ikhlas membantu mereka. Tak sampai hati ingin ambil wang daripada mereka. Aku sangkakan situasi itu terhenti di situ, tapi kelihatan salah seorang daripada mereka ini masih seolah bertanya-tanya pada orang-orang di dalam bas. Rupanya dia masih mahu menukar wangnya kepada wang kecil supaya dia boleh memulangkan RM2 yang aku beri mereka tadi. Alahai... Dan akhirnya ada seorang makcik menukar wang dengannya. Lalu, dia segera membayar semula wang yang aku beri pada dia.

Aku geleng-geleng kepala, aku ulang-ulang lagi ayat yang sama, "No, nevermind. Please..." Aku menolak dengan baik. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda dia insist inginkan aku untuk mengambil wang tersebut. Allah, sejujurnya aku ikhlas. Akhirnya, aku ambil juga wang yang dia pulangkan. Aku yakin pada ketika ini, seluruh bas sedang memerhatikan gelagat kami. Aduh, aku jadi segan.

Babak ini sebenarnya belum terhenti di sini. Ada sesuatu yang lebih membuatkan aku terharu telah berlaku di kemudiannya. Bas kini sedang menuju ke arah Jalan Semarak. Terdengar seseorang menekan loceng bas tanda mahu turun di perhentian bas di hadapan UTM. Lewat kerling mata aku, terperasankan ada seorang pemuda India bangun dan berjalan menuju ke pintu hadapan bas. Tiba-tiba dia berhenti dan mendekati aku. Aku terkejut bila dia cuba menegur aku dengan ayat ini, "Kak, I am proud of you... for what you have done just now!" Tersenyum lebar dia. Aku... yang dalam keadaan masih terkejut mendengar kata-kata pemuda itu, serta-merta membalas katanya, "Ooohhhh... thank you..." sambil mengangguk-ngangguk tersengih malu. Dan pemuda itu menuruni bas. Hati jadi sebak, terharu. Mata berair. Aku takkan lupakan momen ini dan kata-kata daripada pemuda tadi.

Allah. Allah. Allah. Tidak ada sebaik-baik perasaan dan seindah-indah momen selain ini. Di ketika kau berbuat baik pada seseorang stranger, mana kau pernah sangka kau bakal menerima kejutan ucapan bangga itu datang daripada seorang stranger yang lain. Ucapan yang meluahkan rasa appreciation kepada kau. Di ketika kau tidak pernah menjangkakan balasan di atas pertolongan ikhlas kau. Di ketika kau tidak pernah mengharapkan puji-pujian daripada orang. Ia datang tanpa kau minta. Sesungguhnya, ia adalah perasaan yang cukup indah.

Maka moral daripada babak ini adalah - Berbuat baik dengan sesiapa pun, tanpa mengira bangsa, kaum, atau apa saja, berbuatlah dengan ikhlas. Maka sesuatu yang baik juga bakal berlaku kepada kau. Mungkin tidak hari ini, mungkin tidak esok. Tetapi mungkin di akhirat kelak. Kita tidak akan pernah tahu.

Benarlah seperti kata-kata ini, "Do good. And good things will come your way."

Dan kita juga tidak pernah tahu tentang percaturan Allah, yang pada mulanya aku rancang ingin menumpang teman ke kantor. Tetapi akhirnya aku perlu menaiki bas. Hikmahnya, aku dipertemukan dengan situasi di dalam bas tadi, dan dapat membantu orang yang memerlukan.

Indah, bukan?

Oh ya, dah baca surah Al-Kahfi hari ni?


Posted in | Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.