Archive for May 2016

Jalan Doraisamy

Gelandangan di sudut pejalan kaki menadah tangan pada nenek tua
Nenek tua melintas di garis kuning bersama pemuda cacat lima puluh persen penglihatan
Pemuda yang cacat lima puluh persen penglihatan terkapai di bahu jalan bertembung pemuda eksekutif
Pemuda eksekutif memacu Mercedes melintasi para arsonist
Para arsonist dengan gah menyebar abu dan debu di tempat mencari rezeki si pelukis jalanan
Pelukis jalanan memotret manusia cantik
Manusia cantik sedang memanggil barista
Barista membancuh kopi latte kegemaran pengopi
Pengopi terhibur mendengarkan nyanyian lelaki-lelaki buskers
Lelaki-lelaki buskers memetik gitar menghibur wanita sepi
Wanita sepi sedang mengelamun menulis puisi untuk entah siapa
Entah siapa sedang merindukan entah siapa
Entah siapa mengambil peduli entah apa


'Jalan Doraisamy'
Mei 2016

Leave comment

Buat Para Strangers dan Para Lelaki Yang Keliru

Menerusi insiden yang berlaku pada diri aku yang pernah aku ceritakan sebelum ini (atau aku belum betul-betul cerita?), ternyata telah membuatkan aku sedar bahawa bukan aku seorang yang hatinya dipersenda dan dipermain. Bahkan ramai lagi teman rapat dan para strangers yang tampil menceritakan perihal yang sama atau malahan lebih teruk daripada itu.

Makanya dengan ini, telah mendatangkan sebuah konklusi yang mana aku anggarkan mampu menjadi batu loncatan buat aku supaya bersyukur. Bersyukur dalam konteks ini yang aku maksudkan adalah, aku perlu bersyukur tidak ditimpakan musibah perhubungan yang lebih teruk. Lebih kasihan perihalnya jika dibandingkan wanita-wanita dan gadis-gadis yang dipenjara hati mereka dan tak dijaminkan. Sekurang-kurangnya untuk aku, aku telah berjaya menjamin hati aku sendiri dengan cagaran ‘sejumlah hati yang sakit dek kerana terpaksa melepaskan’.

Satu hal lagi, aku kerap memikirkan apa sebenarnya seorang lelaki itu mahukan. Sudah diberi hati, malah dipermainkan. Sudah diberi kasih, malah dipersendakan. Sudah diberi sayang, malah dientengkan. Sudah diberi percaya, malah dimungkirkan. Apa mereka-mereka ini sendiri tidak mempunyai hati? Atau, bagaimana?

Soalnya, perbuatan menyakiti hati ini boleh diklasifikasikan sebagai sebuah dosa. Dosa kerana mempermainkan hati orang. Menganiaya. Dan adakah kita-kita lupa bahawa doa orang-orang yang teraniaya itu lebih mudah dimakbulkan? Apatah lagi jika orang tersebut telah dianiaya hatinya berulang-ulang kali (telah diberi peluang berkali-kali usai saban tahun pun masih diberikan peluang kedua atau ketiga, tetapi masih juga dipermainkan para lelaki) — mudah-mudah saja doa-doanya dimakbulkan, bukan? Untung saja kalau-kalau orang yang kita-kita permainkan itu tidak pernah berniat berdoa yang tidak-tidak (aku malahan mendoakan dia berbahagialah).

Buat para strangers yang aku kasihi sekalian — berhadaplah dengan Allah. Kerana Allah punya kunci bagi hati-hati kita yang sedang di dalam keraguan, ketidakpastian, dan kesedihan. Hanya Allah saja yang mempunyai kunci untuk kita keluar daripada bilik-bilik sepi yang mengongkong hati untuk bahagia. Mengadulah pada Allah sesungguhnya. Menangislah di atas sejadah disepertiga malam moga dipinjamkan kekuatan hati untuk melepaskan dan teruskan berhidup. Tahajjud itu adalah bagi orang-orang yang menang. Biarkan mereka-mereka itu berbahagia di balik derita kita. Biarkan. Biarkan.

Buat para lelaki yang masih keliru di luar sana — berhentilah daripada terus-terus terkeliru. Berhentilah daripada mengaju alasan ‘tidak tahu buat pilihan’ kerana kalian tidak layak pun membuat sebarang pilihan. Beringatlah bahawa hidup ini wujud yang kita panggil sebagai kifarah. Beringatlah bahawa jika tidak mahu ditakdirkan yang sama ke atas dirimu atau anak-anakmu kelak, maka, jangan perlakukannya pada orang lain. Jangan menganiaya. Sebabnya kita tidak pernah tahu kelak apakah yang bakal terjadi pada kita? Apakah pengakhiran di setiap permulaan yang kita mulakan? Berinsaflah. Segera meminta maaf kepada setiap hati yang kau pijak-pijak kelmarin.

La tahzan, buat semuanya.
Allah itu sentiasa ada untuk kita.


“Buat Para Strangers dan Para Lelaki Yang Keliru”
Mei 2016
Bilik konversasi solo

Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.