Archive for October 2012

Kenangan terindah yang paling indah

Nota pra-baca : Kesinambungan cerita dari sinisini, dan sini.

---

Deru ombak yang menghempas pantai kuat kedengaran. Namun, lebih kuat lagi dikalahkan oleh suara temannya yang asyik berceloteh itu dan ini. Mariyah. Memang pada lazimnya sudah terkenal dengan sifatnya yang tidak pernah cukup nafas bila berceloteh. Tak pernah teringat mahu menghentikan celotehnya apabila sekali dia sudah membuka mulut. Si gadis yang daripada tadi hanya duduk diam itu, cuma mampu memerhatikan tingkah temannya, si Mariyah. 'Haih, bila agaknya dia ni nak jumpa tanda 'noktah',' getus hati dia yang penat menjadi pemerhati. Lantas dia beralih pandang ke sisi kanannya yang terarah ke pantai untuk memberi dia sedikit ruang bernafas. 'Mariyah... Mariyah...' ujarnya perlahan sambil mendengus.

Serta-merta dia teringatkan Ammar. Dia tidak sedar entah bila yang dia tidak pernah teringatkan lelaki itu. Yang dia sedar, dia seolah bermain dengan api bila hatinya sudah jatuh pada teman rapatnya sendiri. Jatuh yang paling dalam. Nahas. Namun, hatinya terbuai-buai mengingatkan segala yang manis ketika dia bersama Ammar dahulu. Dari saat itulah dia luahkan isi hati yang tidak sepatutnya dia luahkan kepada lelaki itu. Tetapi, semuanya sudah diketahui Ammar. Itu pun berlaku setelah Ammar berkongsi satu rahsia dengannya. Kalau tidak, tak mungkin dia seberani itu meluahkan rasa.

"Moga ini menjadi kenangan terindah... bila aku tak ada nanti," bisik Ammar ke telinga gadis itu. Lantas, dia merenung tajam tepat ke mata Ammar dengan wajah yang mencuka. "Janganlah cakap macam ni... Aku tak suka dengar," dengan air mata yang sedikit bergenang. Bahagia, sedih, kecewa... perasaan si gadis bercampur-baur. Namun, yang paling dia perlu saat itu cuma bahagia. Kerana dia mahu hargai saat penting sebegini. Ammar memberi senyum terpaling manis pada si gadis itu. Dia turut tersenyum yang paling bahagia. Yang paling bahagia.

"Syifaa..... Syifaa....." Segera dia tersedar daripada lamunan. Terlihat Mariyah sedang berdiri tegak menunggunya sejak dari tadi. "Jom! Aku dah bayar air kau minum tu. Kita balik, rehat. Malam ni ada program lagi," bebel Mariyah.

Dia bangun, melangkah perlahan merentasi pasir pantai menuju ke bilik mereka. Dia tunduk sambil melangkah, dan tersenyum sendiri.


---

Cerpen pendek :
Kehadapan Dia
Babak 4 (dari konteks si penulis/orang ketiga)
Oleh saya



Posted in | Leave comment

Kenapa begini?

Nota pra-baca : Kesinambungan cerita dari sini, dan sini.

---

Sudah jam satu pagi. Si gadis ini mengiring badannya ke kiri dan ke kanan berulang kali. Matanya sudah lama lelap tetapi tidak mindanya. Lalu dia membuka kedua mata kembali merenung kipas yang ligat berpusing. ‘Apa yang aku sedang fikir?’ Dia mengomel sendiri. Entah mengapa malam itu dia tidak lena tidur. Mindanya tidak mahu bergerak selari dengan mata. Terkebil-kebil.

‘Dia...’ lontarnya perlahan diiring keluh yang sangat sarat dengan beban. ‘Kenapa dia tak reply mesej aku tadi?’ Kali ini pelbagai andaian sudah menapak di fikiran. Barangkali kawannya itu tidak pernah ada secalit suka pada dia. Dan apatah lagi untuk ada sayang. Tetapi bagaimana dengan manis yang diberi kelmarin? Manis yang tidak akan pernah dia lupa. Si gadis semakin tercalit murung di wajah. Dia berjanji dia akan ujar soalan-soalan yang menghenyak hati dan mindanya saban hari itu, jika dia punya kesempatan seminit dua bersama.

Dan dikeranakan mindanya yang berkeras untuk tidak mahu lelap sama mata yang semakin kuyu itu, tangannya mencapai telefon pintar yang diletakkan di sisi bantal, perlahan dia membuka aplikasi nota digital. Dan menaip ini,


***

Dan ada masanya yang aku keliru
Tentang yang aku rasa dalam hati
Sungguh hati aku
Tidak mampu untuk lupa
Sungguh pejam mata aku
Sering muncul dia
Sungguh dalam fikir aku
Tak pernah tak ada dia

Kenapa aku begini?

***

Lalu dia terlelap usai puisi karutnya selesai ditaip rambang dan disimpan.


---

Cerpen pendek :
Kehadapan Dia
Babak 3 (dari konteks si penulis/orang ketiga)
Oleh saya



Posted in , | Leave comment

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.