Tenang yang Engkau Beri

Malam ini, terasa sayu di bila aku ingin meninggalkan naskhah kecil ini. Terasa benar-benar sayu di sedang aku mahu menghentikan bacaan di baris akhir mukasurat yang entah ke berapa ini. Sayu. Aku cium-cium naskhah milik Allah ini bertalu-talu. Aku kejapkan mata, dan aku peluk naskhah ini sesungguh-sungguhnya untuk beberapa minit. Aku cium lagi sambil aku bisikkan, "Kita jumpa lagi esok. InshaaAllah ya, kita jumpa lagi esok..." Air mata bergenang. Sayu kali ini seolah aku tidak bakal berjumpa dengannya lagi esok untuk membaca dan mengalunkan bait-bait indah punya Allah yang tercatat di dalamnya.

Dan aku belainya seolah menenangkannya. Lalu aku letakkannya di atas kabinet kayu itu.

Sayu yang cukup indah. Dan rasa rindu yang cukup indah.

Saban hari aku mencari jawapan, "Siapa aku?" "Siapa aku? dan "Siapa aku?" Dan di ketika aku hanyut, hati semakin gelisah. Bermacam beban aku simpan sehingga terasa begitu berat.

Pernah sehinggakan aku mempersoalkan tentang mengapa Allah menguji aku sebegini rupa sedangkan aku sering berbuat yang lebih baik? Di sekejapan itu juga aku tersentap, yang Allah sebenarnya rindukan aku. Maka, Allah uji aku supaya aku datang dekat kepada-Nya.

Suatu hari, aku nekad untuk mengubah cara hidup aku yang bagi aku cukup melalaikan. Aku tinggalkan sesuatu untuk sesuatu. Nekad kali ini mahu mendekatkan hati lebih lagi kepada Maha Pencipta, dan Rasulullah. Maka aku mulakan sedikit-sedikit amalan yang ringan-ringan sehingga menjadi kebiasaan. Kalau sebelum ini aku solat, tetapi tidak disertakan dengan perbuatan sunat yang lainnya, aku perbaiki. Zikir-zikir, selawat, dan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu mukasurat setiap hari. Dan berpuasa sunat. Alhamdulillah. Tenang yang aku cari semakin hari semakin aku peroleh. Dan justeru, sedikit-sedikit juga Allah telah datangkan rezeki kepada aku, berperingkat-peringkat. Kalau hari ini masalah muncul, di keesokkannya Allah beri jalan penyelesaiannya. Hati semakin terasa lapang. Walau aku tahu masih ada celanya di sini-sana, masih bercompang-camping amalan, masih goyah hati bila digoda nafsu dan anasir negatif. Namun, aku tetap cuba.

Dan perkara paling indah adalah apabila aku kerap berasa rindu pada Allah, Rasulullah, dan naskhah al-Quran itu.

Tak tergambar. Tenang yang Engkau beri.


Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.