Mencintai diri sendiri dengan menerima tiga puluh dua

Malam ini, aku lebih merindui diri aku sendiri. Merindui segala rutin yang aku lakukan di ruang studio miniku. Merindui hal-hal yang membahagiakan ketika cuma bersendiri. Merindui momen yang hanya perlu aku dan secangkir kopi tiga perempat panas untuk berasa tenang. Merindui betapa kompaknya jiwa yang tertenangkan oleh dendangan empatduapuluh. Merindui aku yang sedang menjadi hanyalah diri sendiri tanpa rasa perlu berpada-pada. Aku adalah aku yang terlalu mencintai diri sendiri. Aku adalah aku yang kerap merindui diri sendiri di momen-momen tertentu.

Peliknya, malam ini aku terlebih-lebih merindui diri sendiri. Mungkin kerana hari kelima belas pada bulan Jun tahun ini adalah lebih istimewa. Istimewa yang mengapapun aku tidak pasti. Yang pasti, di tahun ini aku banyak bersyukur tentang pelbagai perkara. Lebih berasa konten dengan segala perkara. Hanya kerana di bulan-bulan terdahulu pada tahun ini segalanya hanya yang baik-baik saja, maka mungkin dengan itu aku lebih menanti-nantikan hari ini.

"Kita pasti tua... kita pasti tua..." kata Ary Lesmana ketika aku sedang menaip perenggan kedua tadi. Seolah-olah sedang mengingatkan aku bahawa aku telah menua setahun lagi di hari ini. Ironinya, aku tidak tersentap, bahkan terketawa kecil. Barangkali kerana aku sungguh telah menerima umur yang berjalan tahun ke tahun ini. Dan adakah juga kerana telah banyak yang patut disyukuri, diperoleh ketika telah tiba di mukasurat tiga puluh dua ini. Maka, aku menerima baik angka yang digenapkan usai jam duabelas malam ini.

Ketika sedang menjadi diri sendiri di pantai belakang rumah Hawa & Hasif


Kehadapan Syuhada pada tahun ketiga puluh dua,

Tahniah kerana telah menjadi siapa yang telah kau jadi ketika hari ini. Seorang yang sentiasa cuba bersyukur dalam apa keadaan. Dan seorang yang tidak berharap apa-apa tetapi telah mendapat apa-apa. Itu semua kerana berkat berfikiran optimis dan masih cekal di diri yang lalu. Kau adalah sebuah contoh yang baik buat diri kau di masa hadapan. Mari terus-terusan menjadi lebih baik dan sukses untuk hari-hari berikutnya :-)

Selamat Ulangtahun Kelahiran, Syuhada.

Daripada,
Syuhada.

15 Jun 2022
Rumah beberapa langkah dari pantai
Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Cari

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.