Nota pra-baca : Kesinambungan cerita dari sini.
---
Ketap bibir. Jantung bergerak yang tidak pernah pegun. Jemari gadis berkemeja biru air itu menujah-nujah papan kekunci sentuh telefon pintar miliknya. Sambil selendang biru bercorak sedondon ronanya dengan kemeja yang dipakai itu sesekali teralun lembut mengikut hembus angin dari celah pepohon tua di sekelilingnya. Masih menaip. Padam. Menaip semula. Padam. Dia tarik nafas sedalam-dalam, dan hembus sekuat-kuat, seberat-berat yang ibarat ada beban menghempap rongga nafasnya.
Gadis tadi, menaip kembali sebutir-sebutir aksara. 'Get well soon.' Ringkas. Dan segera menekan butang 'Send'. Dia menunggu penuh debar. Selang seminit dua kemudian, pesanannya dibalas juga sama ringkas. Bahkan lebih ringkas. 'Hopefully...'
Entah diakibatkan oleh apa, jantung dia tidak semakin surut rancak degupannya. Bahkan semakin deras yang kalau ada sesiapa berdiri di sisi dia, pasti orang itu dapat mendengar bunyi degup jantung gadis itu tadi. Dibawa tangan kanannya menyapa dada dengan harapan degupan deras jantung itu boleh diperlahankan. Hatinya seolah tidak selesa untuk berbuat tidak tahu. Untuk berbuat tidak ambil peduli. Dan itu mendorong dia menaip sekali lagi satu pesanan. 'Haih, kenapa entah aku tak sedap hati. Harap kau ok je.' Hantar. Dan dibalas. Kali ni, dia cuba memberanikan dirinya untuk luahkan rindu kepada si penerima. Sebab bagi dia, dia tak punya cukup masa lain untuk luahkan rindu yang dia peruk dalam hati saban hari. Jadi dia menaip, ucap rindu.
Namun, kali ini, tangannya menggigil, ibu jarinya terketar-ketar tatkala jarak ibu jarinya kurang sesentimeter daripada butang kekunci bertulis 'Send' itu. Sejuk dan pucat lesi tangannya. Lama dia berkeadaan begitu. 'Ah, kalau aku tak cakap sekarang, bila lagi? Sebab aku tak tahu lama mana lagi masa yang Allah pinjamkan untuk aku terus ada kesempatan ni... kesempatan untuk luah rindu aku kat dia,' getus si gadis di dalam hati. Lantas ditekannya butang 'send' dengan segera dan menunggu lagi.
Tiada.
Tiada bunyi pesanan masuk.
Tiada bunyi fon berdering.
Tiada balasan.
Tiada.
---
Cerpen pendek :
Kehadapan Dia
Babak 2 (dari konteks si penulis/orang ketiga)
Oleh saya
Nota :
Untuk yang tertanya-tanya (sekiranya ada), adakah cerpen ini berkisarkan perihal hidup si penulis (iaitu aku), jawapannya, bukan. Adakah cerita ini berkait dengan orang sekeliling si penulis, jawapannya, masih bukan. Adakah penulis sendiri pernah alami situasi seperti yang diceritakan, jawapannya, tetap bukan. Adakah ini rekaan semata-mata, jawapannya ya!
Aku menulis ini adalah rekaan semata tetapi berdasarkan drama yang pernah aku tonton. Namun, isinya diolah kepada lebih dihiperbolakan. Aku perdekatkan watak si gadis kepada aku, supaya lebih mudah diekspres.